Warkah untuk Sultan


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Daulat Tuanku.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun.

Pertama sekali, izinkan patik memohon beribu-ribu ampun kiranya bahasa yang patik gunakan tiadalah tepat penggunaannya, kerana patik tidak dilatih untuk menulis sebegini kepada tuanku. Namun kali ini, patik memohon izin untuk menulis apa yang patik ingin sampaikan kepada sultan yang patik kasihi.

Ampun Tuanku.
Di saat ini, patik melihat keadaan di tanah bertuah ini hampir bergolak. Apa yang diperjuangkan, semakin lama patik lihat ia seperti semakin di luar kawalan. Semakin ramai yang mengangkat diri sebagai ketua, seakan tidak ada lagi mentadbir negara. Di negara yang berdaulat ini, alangkah malangnya jika ada yang berpendapat bahawa bahtera ini tiada nakhodanya.

Ampun tuanku.
Pada tahun 1947, nenda dan ayahanda kami pernah merayu ke bawah duli tuanku untuk menghapuskan Malayan Union. Lelaki, wanita dan anak kecil juga memohon untuk bernaung di bawah lindungan payung mahkota tuanku, dan tuanku sahaja. Kerana mereka yakin bahawa tuanku sahajalah sultan di jiwa mereka.

Tuanku mempunyai suara keramat. Apa yang dititahkan tuanku, didengari semua. Di bumi yang bertuah dan berdaulat ini, hanya pada tuankulah terletak takhta.

Ampun tuanku.
Di saat ini, pemerintah yang dilantik seakan tidak lagi didengari suara mereka oleh sebilangan rakyat jelata. Rasa marah telah jauh menusuk di jiwa. Perpecahan terjadi di mana-mana. Rakyat tuanku tidak lagi satu suaranya. Mereka ada banyak kehendaknya. Makin hilang arah dan budayanya. Undang-undang dijadikan bahan jenaka. Maka akan timbullah huru hara.

Pada fikiran patik , kini, hanya suara tuanku yang akan didengar oleh semua. Hanya titah perintah tuanku menjadi azimat untuk rakyat di bawah lindungan tuanku.

Ampun tuanku,
Ada di antara rakyat naungan tuanku ingin menyuarakan isi hatinya pada tuanku. Jika tuanku perkenankan mereka menghadap, patik mohon pada tuanku agar dapat menyuluhkan mereka jalan yang beradab.

Jika tiadalah berkenan di hati tuanku, maka titahkanlah untuk kami menghalangnya. Titah tuanku pasti akan kami junjung di atas batu jemala kami, tuanku.

Jika tuanku menerima mereka sebagai tetamu, akan kami muliakan mereka.
Jika kedatangan mereka mendatangkan murka, titahkanlah seadilnya.

Ampun tuanku.
Patik berharap, di saat yang tepat, tuanku dapatlah bertitah kepada semua. Patik yakin, keputusan yang akan tuanku lakukan adalah yang paling tepat untuk naungan tuanku. Kerana tuanku tiadalah bertaut pada sebarang kepentingan. Hanya tuanku sahajalah yang berhak di kala ini untuk menenangkan hati-hati yang tidak tenang di negara berdaulat ini.

Ampun tuanku.
Patik berharap, di negara yang aman makmur ini, patik sekeluarga akan kekal bahagia. Ramai juga rasanya mahukan keadaan yang sebegitu rupa. Patik mohon ke bawah duli tuanku agar dapat memberikan kata penenang jiwa kepada mereka. Dan patik yakin, seluruh rakyat tuanku akan bersatu dengan titah tegas tuanku.

Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun.

Daulat Tuanku.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s