Semalam di Tanjong Pagar


Assalamualaikum

Banyak nostalgia indah yang aku ada kat Stesyen Keretapi Tanjong Pagar Singapura (sekarang ejaannya Tanjung ).Masa aku kecik2 dulu, ayah aku seorang pembikin dan pengedar buku ke seluruh Malaysia dan Singapura. Tapi ada juga situasi di mana kami juga menaiki keretapi untuk menjenguk sedara mara yang masih menetap di Singapura.

Biasanya selepas Maghrib, kami akan bergerak ke stesyen Keretapi Kuala Lumpur. Kini menjadi bangunan warisan kuala lumpur. Sebelum itu kami akan melepak di gerai2 kecil di sekeliling stesyen untuk membeli makanan sebagai pengalas perut. Chikedes adalah bekalan wajib. Kerana di dalam tren, makanan yang dihidangkan agak mahal.

Telah dicuba semua trennya, yang berkipas, yang dibuka tingkapnya, yang ada pendingin hawa, duduk, katil, malah ada suatu situasi ajaib, kami dapat tiket kabin kelas pertama. Entah apa sebabnya aku tidaklah dapat mengingatinya.

Bila tiba di kota Singa, dari persekitaran pun aku boleh tahu aku berada di negara yang lain. Mungkin kerana penjagaan hutannya. Sepanjang perjalanan yang singkat dari JB ke Tanjong Pagar, menjadi kebiasaan pakcik2 berdiri di pintu gerabak sambil menghisap rokok. Bila telah sampai ke puntung, tandanya semakin hampir berhenti di stesyen tanjong pagar. Itu tanda. Kerana apabila telah ramai membuang puntung, maka mak akan mengarahkan untuk bersedia menggalas beg yang ada. Bersedia untuk turun segera merentasi checkpoint yang ada.

Aku tak berapa menggemari di hujung jalan kecil itu. Ada anjing2 garang yang menyalak dan kekadang merempuh pagar besi. Ada angin yang dihalakan kepada kami. Dimaklumkan bahawa anjing itu mengesan dadah terlarang. Tetapi lelehan air liur haiwan itu seakan tanda hendak menerkam aku. Kebiasaannya, aku akan berjalan sederas yang mungkin melepasi kawasan itu.

Ada beberapa kali atuk aku akan naik tren itu menuju ke singapura. Apabila sampai di stesyen itu, dia akan menghulurkan kuih dan buah tangan dari tampin kepada saudara aku di tepi pagar stesyen, dan kemudiannya menaiki tren yang sama balik ke stesyen tampin. Mungkin itulah cara dia hendak berjalan2 agaknya. Melepas rindu melihat negara tempat dia tinggalkan dahulu. Dan aku tak pernah menyatakan perihal itu pada dia. Itu cara dia.

Bila tiba, laluan penumpang untuk ke bangunan utama itu kecil sahaja. Seakan sudah bersedia untuk beratur untuk menempuhi gate utama. Kebiasaannya kami tiba di awal pagi. Matahari pun baru hendak memancar cahayanya. Menembusi cermin2 kaca berwarna. Indah. Klasik. Sukar untuk aku gambarkan.

Bangunan utamanya besar dan luas dalamnya. Menjadi kebiasaan aku untuk menjerit untuk mendengar gema. Emak tak pernah gagal untuk meletak jari telunjuknya ke bibir. Aku gembira.

Adakalanya pakcik2 aku di Kota singa ini menunggu kami di awal pagi dengan teksinya. Tak payah nak beratur menunggu. Tapi ada kalanya, terpaksa juga beratur dalam barisan yang panjang. Dan bila dah lama menunggu, kekadang terlelap juga di sisi beg kami.

Bila dah besar sikit, barulah aku tahu bahawa sepanjang landasan keretapi itu adalah milik Malaysia. Maknanya luas juga tanah milik Malaysia disempadankan oleh stesyen Tanjong Pagar itu. Dan adanya hak Malaysia, landasan keretapi impian Mahathir dan mengilhamkan landasan berkembar mula mendatangkan logik akal yang besar. Kerana Malaysia bakal menjadi hub di pulau Singapura itu sendiri. Bayangkan barangan dan penumpang dari tanah besar China hinggalah ke Tanjong Pagar. Berapa besar perancangan Mahathir ini.

Tapi sayang, dahulunya rakyat Malaysia bertelagah kerana tanah, di zaman ini, ia tanah diserah sebagai tanda toleransi dan kerjasama. Atas nama pembangunan bersama. Aku tak tahu apa yang dimaksudkan mereka, tapi aku tahu. Kerana tidak tahu, aku tak setuju. Dan asbab terjadinya perkara2 ini perlu disuluhkan kepada rakyat macam aku.

Sudah lebih sedekad rasanya aku tidak melalui denai batu di stesyen itu. Lebih mudah, cepat dan prektikel bagi aku sekeluarga untuk memandu ke kota Singa. Lagipun, harga teksi untuk ke sana-sini sudah melambung tinggi, semuanya sebab perbezaan nilai pada matawang jiran sendiri.

Tanjong Pagar bukan sekadar sebuah stesyen keretapi. Ianya lebih besar impaknya dari tugasnya itu. Selepas ini kita lihat pula dengan pulau pisang dan spratley. Adakah akan dilepaskan lagi… ? Belajarlah dari sejarah. Ilmu itu menghindar segala masalah.

Selamatlah bersama tuanmu yang baru wahai si tanjong pagar. Kenangan itu akan aku simpan sebaiknya…. 😉

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s