Apa yang aku lihat…


Assalamualaikum

1.
Seorang anak lelaki berbangsa India berdiri di muka pintu. Wajahnya tenang. Sedikit tunduk. Persis watak anak yang sopan. Rupa cengkungnya ditenggelamkan oleh sinar rambutnya yang hitam berkilat. Nyata telah diminyakkan. Mungkin dengan adunan bijan. Aku tahu baunya. Natijahnya, lurus. Tersisir rapi.

Waktu namanya disebut pengacara majlis, dia berjalan sedikit tunduk. Menjabat tangan si pemberi anugerah. Seperti anak2 yang lain. Perlakuannya biasa.

Setelah turun dari pentas, disambut dengan pelukan dari lelaki yang aku andaikan adalah bapanya. Aku terasa ada aura bangga.

Sedang aku mencari setting terbaik kamera digital aku, bapanya mengambil gambar anaknya itu dengan kamera zaman silam yang wajar aku muziumkan. Ayahnya senyum. Tidak peduli dengan pandangan pemilik kamera digital lain di sekelilingnya yang jauh lebih mahal harganya. Entah kenapa, aku rasa malu dan menutup lensa.

Hormat atau menjaga airmuka si bapa tadi ??? Yang nyata, dia tidak perlukan aku untuk merasakan apa yang dia rasa.

Dia bangga dengan dirinya. Dia bangga dengan hartanya. Dan yang paling penting, dia bangga dengan anaknya.

2.
Sedang aku yang terlewat tiba untuk majlis anugerah, cuba memetik picu kamera untuk diganti saat yang terlepas itu. Mencari kelibat puteri kesayangan. Dia sedang sibuk berada di kalangan rakannya yang lain.

Melambaikan tangannya setelah melihat aku berdiri di sisi pintu. Meluruskan jari2 mulusnya dan menghadapkan tapak tangannya ke arah aku. Meminta saat itu untuk dihabiskan bersama rakannya. Seketika. Aku senyum. Mafhum.

3.
Aku melangkah ke belakang dewan. Isteri dan anak yang lain sedang duduk melihat upacara yang masih dilangsungkan. Setelah menarik kerusi yang tiada pemiliknya, aku duduk di sisi mereka, menantikan puteri cilik datang untuk dirakam saat manis untuk diabadikan saat itu melalui piksel warna dan cahaya.

Sedikit sesal, kerana buat pertama kalinya aku tidak melihat dengan mata ini, saat anak aku menerima anugerah. Maaf Aisyah, abah sedikit lewat, dan di lain kali, akan abah utamakan kamu lebih dari urusan yang lain. Dengan izin Allah.

4.
Anak lelaki itu seakan ditakdirkan untuk aku menyaksikan sesuatu yang unik untuk hari itu. Dia datang mencari wanita yang aku andaikan ibunya yang duduk betul2 di hadapan aku.

Wanita itu mencium pipi anaknya itu. Kiri dan kanan. Di khalayak ramai. Jika situasi yang sama berlaku pada anak lain, mungkin wajah anak yang lain itu akan berubah malu atau menjengkelkan. Tidak cool jika dilihat kawan yang lain…. Mungkin.

Tapi karakter anak itu menarik. Dia tidak pedulikan pandangan mata yang lain. Mungkin telah tertanam dalam jiwanya bahawa ibunya adalah segalanya. Indah.

Si ibu menarik kerusi di sebelahnya untuk anak itu melabuhkan punggungnya. Si anak menurut. Terkumat kamit mulut si ibu itu. Tiada suara. Aku sekali lagi mengandaikan bahawa mungkin si ibu itu sedang berdoa atau memanjatkan kesyukuran. Dihembus bangga dan doa dari hati ibu itu ke wajah anaknya.

Setelah itu, disuapkan manisan ke mulut anaknya itu. Tradisi bangsanya, mungkin. Aku kenal makanan manisan itu, kerana aku juga dahulu bersahabat akrab dengan rakan yang berbangsa India ketika kecil dahulu.

5.
Entah kenapa aku tertarik dengan keluarga itu. Retro bapanya, adat amalan ibunya, dan taat anaknya. Menarik. Jarang aku dapat saksikan saat sebegitu.

Untuk keluarga itu, satu di antara beribu margas Melayu di premis yang satu, yang mengamalkan apa yang aku lihat itu…. Aku salut.

Berbanggalah dengan keluarga dan adatmu wahai anak. Aku doakan kalian berjaya dalam kehidupan. Kejayaan yang tidak melupakan adat dan kesopanan. Kagum. Wajah mereka ikhlas. Malang sekali aku bukan penulis yang hebat untuk menggambarkan wajah ikhlas keluarga itu.

6.
Dan puteri kecil aku muncul di hadapan aku dengan anugerah yang telah diterimanya. Dengan sijil penghargaan yang dikurniakan pentadbir sekolah.

Aku bangga dengan anak aku. Sesungguhnya aku bangga. Tapi adat Melayu apakah yang aku hadapkan padanya ? Bangga cara Melayu apa yang aku tunjukkan padanya ?

Tiada.

Dan bila besar kelak, jika tidak cukup Melayunya, wajarkah aku salahkan puteri aku ini ?

Mungkin aku belum cukup Melayunya …. Tapi aku yakin, keluarga itu telah cukup Indianya.

Sekali lagi, aku salut.

Situasi yang aku lihat itu, mudah. Ringkas. Tapi berbekas di hati ini. Kadangkala perkara yang sekecil itu bisa memberi impak kepada orang seperti aku. Paling tidak, memberi ilham untuk aku kongsi rasa itu bersama….

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s