Kenangan di Aidilfitri


Assalamualaikum

1. Kalau mak masih ada, dia tengah melepak dengan aku layan takbir kat tv selepas berbuka. Penat sudah dia memasak dari pagi.

2. Kalau ayah masih ada, dia tengah siapkan baju raya dia yang telah digosok rapi. Memberus songkok dua jam. Tiada sesiapa akan ada pakaian yang sekemas ayah.

3. Kalau kakak masih ada, dia tengah sibuk menyiapkan juadah untuk orang yang hendak datang bertakbir di rumah. Aku dan yang lain menolong siapkan rumah. Selepas itu dia akan menghadap selonggok pakaian untuk dilicinkan. Begitulah rutin di hari lebaran.

4. Sekarang trendnya sudah berubah. Isteri dan keluarganya masih sibuk di dapur menyiapkan juadah. Malamnya riuh rendah.

5. Ketika semuanya ada di rumah, bila bangun hendak mandi pagi raya, terpaksa senyap dan melangkah ke bilik air. Jika lambat, maka terpaksalah beratur panjang menunggu giliran berebutkan bilik mandi yang satu.

6. Dahulu semuanya ke masjid dalam satu barisan. Pulang dalam satu barisan. Sampai di rumah, duduk bermaafan. Kemudian menikmati hidangan.

Sambal goreng, rendang daging dan ayam kurma menjadi kemestian.

7. Dahulu pagi raya kami berkonvoi ke kampung. Kini hanya duduk di rumah menanti kunjungan.

8. Banyak bezanya berhari raya di bandar dan di desa. Kemeriahannya. Suasananya.

9. Di saat ini juga aku berharap mak ayah dan kakak aku masih ada. Pasti meriah di hari raya.

10. Kini hanyalah keluarga. Jika aku tak memeriahkannya, apalah kenangan yang akan mereka ada untuk dibawa sebagai kenangan ???

Bergembiralah wahai sahabat. Yang tiada dikenang. Yang ada hendaklah ditatang.

Selamat menyambut Aidilfitri.

Negara Islam


Assalamualaikum

Post kali ini adalah jawapan kepada perdebatan tiga orang hamba Allah yang bertelingkah. Kuat sangat suaranya sehingga mengundang minat untuk mendengar. Aku dengar tapi tak menyampuk secara langsung.

Ia berkenaan dengan Islam di Malaysia.

Duhai Pakcik2,

1. Tiada apa dalam perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Artikel 8 hanya menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan. Ada bezanya.

2. Ramai yang beranggapan bahawa kerajaan di bawah BN tidak cukup islamiknya. Hanyalah PAS yang memperjuangkan Islam. Tidak menyokong PAS bererti menolak Islam. Mahu tidak mahu, seorang yang mengaku Muslim mesti menyertai parti yang terang-terangan menegakkan Islam.

Kenyataan yang separuh masak.

3. Che Det terang sudah dengan keberaniannya menyatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam walaupun ia tidak termaktub di dalam perlembagaan. Kenyataannya konsisten. Tidak ditentang oleh komponen BN. Sekurang2nya tidak secara terang dan nyata.

4. PAS pula hanya berani di Kelantan. Di negeri lain ia terpaksa tunduk kepada kehendak rakan sepasukan. Sejak dari barisan alternatif dan yang sewaktu dengannya.

5. UMNO seringkali dikaitkan dengan rasuah dan korupsi. Tetapi tiada di dalam perlembagaannya menyatakan bahawa ahlinya mesti menjadi seorang perasuah mahupun wajib mempunyai ciri2 orang yang korup. Sama seperti PR. Tiada di dalam persetujuannya menyatakan bahawa ahlinya menjadi seorang peliwat mahupun seorang penzina.

Semua itu hanyalah khalayan yang ditanam oleh media musuh politik masing2. Mainan mulut dan minda yang seakan diterimapakai oleh semua peminat tegar politik. Mainan politik memburukkan orang lain seakan sudah menjadi makanan ruji. Tidak boleh tidak, cerita baru memburukkan dan menjatuhkan maruah orang mesti dicari atau direka sekurang2nya sebulan sekali untuk menjadi santapan naluri.

6. Di Malaysia, solatlah di mana mahu. Dirikanlah masjid di kawasan lapang yang ada. Sekolahkanlah anak di madrasah dan pondok yang berkenan di hati. Tiada halangan untuk warganya untuk melanjutkan ilmunya waima sehingga ke Al-Azhar sekalipun. Jadilah seIslam mana yang mahu. Tiada halangan.

7. Untuk menjadikan ianya negara Islam, terpulanglah kepada kesedaran rakyatnya untuk menjadikannya seIslam yang mungkin. Inisiatifnya. Inovasinya. Bukan hanya mengharapkan kerajaan menyuapkan segalanya ke mulut dengan sudu perak yang ada.

Dunia memandang tinggi kepada kerajaan Islamik Malaysia. Persidangan OIC adalah bukti mudah kepada yang mahu melihat.

8. Undang2 Islam telah ada. Tidak sempurna. Sekurang2nya telah ada termaktub di dalam perlembagaan yang mengesahkan kehadiran Mahkamah Syariah. Terpulang kepada Muslim itu sendiri bagaimana hendak membawanya ke tahap yang lebih tinggi daripada hanya mengkhususkan kepada nikah cerai dan peninggalan harta si mati.

Perbankkan Islam telah ada. Tidak sempurna. Sekurang2nya kini telah mendapat maklum balas positif dari kebanyakkan rakyat yang faham tentangnya.

Universiti Islam juga telah ada. Sekolah agama rasmi juga telah lama bertapak. Pusat zakat dan baitulmal diuruskan oleh setiap negeri. Malah Tabung Haji juga dijadikan model kepada negara yang nampak akan keberkesanannya.

9. Jangan dilihat kepada kekurangan dan kelemahan pentadbirannya. Lihatlah kepada tujuan penubuhannya. Apa matlamatnya. Untuk apa ia diwujudkan.

Asas rumah Islam telah ada. Terpulanglah kepada rakyat Muslim untuk mencorakkan rumah itu sebaik mungkin. Kerana Islam itu indah. Tunjukkanlah keindahan itu pada semua.

10. Kini, parti yang mengaku memperjuangkan Islam seringkali dikecutkan oleh rakannya untuk menjadikan Malaysia negara Islam. Mencabar rakannya untuk melangkah mayatnya sebelum semua perkara yang Islamik hendak dipraktikkan. Hanya juara ketika ucapan dan ceramah tempatan. Bila di meja perbincangan seakan mengangguk dan tunduk. Sesekali bangun ketika dicabar dalam wawancara dengan wartawan. Disergah, kemudian nada kembali menggeletar. Tonanya mendatar.

11. Tiada di dalam perlembagaan namun dengan berani dan terbuka menyatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam. Bandingkan dengan konotasi berasingan yang menukarnya kepada negara berkebajikan. Hanya untuk kerusi empuk di Putrajaya yang menjadi idaman.

Apakah perkara Islamik yang boleh dilakukan jika senantiasa ditentang oleh rakan seperjuangan? Malah parti yang satu lagi mengambil langkah selamat ditengah dengan harapan jika dua2 asyik bertengkar, maka ketuanya adalah tokoh paling selamat untuk dijadikan ketua negara jika memerintah. Mengiayakan tidak. Menggelengpun tidak.

Maka dialah mediator yang ketawa berdekah2.

12. Jika hendak mengaku negara Islam pun tidak mampu, apatah lagi hendak membawanya ke satu taraf yang lebih tinggi. Aku tak nampak ia akan terjadi.

13. Sayugia apabila UMNO digelakkan dan diperlekehkan apabila menyatakan bahawa ia memperjuangkan Islam, tahan dulu dekahan itu. Lihat dari skop yang lebih luas. Apa yang telah dilakukan. Lihat dari awan, bukan dari jejalur sempit di celah bangunan.

14. Hanya menyatakan pandangan. Jangan terlalu mudah mengklasifikasikan seseorang itu sesat, tidak islamik mahupun dajjal. Jangan ditanya kenapa Malaysia masih bukan sebuah negara Islam. Selalulah bertanya kepada diri sendiri, apa yang dilakukan oleh anda untuk menjadikannya sebuah negara Islam.

Di akhir cerita, ramai yang mahukan sebuah negara Islam yang mana segalanya sempurna. Tidak kisah jika UMNO atau bukan. Asalnya ia betul2 mempunya kuasa dan pengaruh dalam menegakkan Islam.

Islam buka terletak pada parti politik. Cuma parti politik berpegang kepada Islam mengikut acuan kerana berkehendakkan undi dan sokongan.

Di akhir cerita, ia adalah berkenaan Islam dan bukan parti politik. Bukalah pandangan.

Harapnya segalanya aman dan damai di pengakhiran cerita.