Ali Lim Muthu John


Salam 1Malaysia…

Nama saya Ali Lim Muthu John. Saya rakyat Malaysia. Saya nak menceritakan kehebatan saya yang anda semua tak tahu. Jika saya tak cerita,mana lah awak nak tahu, betul tak?

Kebolehan utama saya adalah berpolitik. Segala perkara saya boleh politikkan. Rambut isteri perdana menteri, hinggalah isu seluar dalam ahli parlimen. Saya sentiasa menang. Walaupun ada satu like, tapi tiada seorang pun yang dislike. Oleh itu saya tahu saya sentiasa disukai ramai.

Dalam masa terluang,saya juga adalah seorang hakim merangkap peguam terkenal. Segala kes dapat saya selesaikan dengan mudah. Sebab saya tengok semua cerita CSI dengan Ally McBeal. Untuk lebih efisyen, saya kadangkala menjadi pegawai penyiasat dan pakar forensik. Tahu sajalah tahap Polizia Malaysia. Lambat selesaikan kes. Oleh kerana itu,saya tidak pernah mengendalikan satu pun kes di mahkamah rendah puchong jaya.

Apabila diperlukan,saya juga pakar ekonomi nombor satu negara. Semua masalah negara boleh saya selesaikan dengan hanya satu klik. Mereka yang kononnya pakar selalu berfikir banyak,tidak berfikir dengan bijak. Terlalu banyak belajar tentang polisi dan akaun yang saya tak boleh terima. Oleh kerana itu,saya tidak pernah dilantik menjadi gabenor bank negara.

Untuk menjadi seorang lelaki sejati,saya juga adalah seorang askar terhebat. Pangkat saya lebih tinggi dari seorang general. Tentera negara ini tidak pandai taktikal. Hanya saya sahaja yang pandai menyelesaikan isu konflik negara. Kerana jasa saya,Malaysia tidak pernah kalah perang kerana tidak pernah berperang. Semuanya kerana saya. Oleh kerana itu,saya tidak pernah dilantik menjadi prebet oleh angkatan tentera Malaysia.

Untuk mengisi masa lapang,saya juga bersukan.Antara sukan kegemaran saya ialah bola sepak dan badminton. Apa sahaja yang jurulatih lakukan semuanya tidak betul. Sampaikan saya terpaksa bermain sendiri mewakili negara di depan tv. Saya terpaksa mencaci maki demi memajukan sukan bolasepak di Malaysia. Lihatlah, hasil jaringan saya, Malaysia tidak pernah layak ke piala dunia.

Di waktu malam,saya boleh bertukar menjadi mufti dan pakar agama. Bukan setakat satu,tapi semua agama. Tanya sahaja. Saya boleh mengeluarkan fatwa dan rasional di sebalik kitab dengan sekelip mata. Setiap ayat,setiap kitab ada di dalam henfon saya. Maka wajarlah saya digelar pakar agama. Oleh kerana itu, saya tidak pernah menjadi imam di mana-mana masjid, kuil atau gereja.

Ramai juga yang tidak tahu saya juga seorang pelawak nombor satu negara. Semua benda saya boleh jadikan bahan. Semua imej saya boleh jadikan orang ketawa. Selalunya tidak betul. Tapi tiada yang lebih menggembirakan apabila lawak saya dishare oleh komuniti mukabuku. Semua tahu saya pakar spin cerita. Lawak saya bersifat nasional. Oleh kerana itu,saya tidak pernah menang maharaja lawak mega.

Saya adalah pakar sejarah. Bukti yang paling jelas ialah saya telah melanggan Histori Chennel yang boleh direkod. Semua sejarah dunia ada di dalam kotak hitam di rumah saya. Ini ditambah dengan pengetahuan dari Nesyenel Jiografik yang datang bersama pakej tersebut. Buku sejarah saya tak pernah beli,tak pernah kaji. Maka sangat patut untuk melebelkan saya sebagai pakar sejarah nombor satu dunia.

Oh ya! Kadang-kadang saya juga adalah wartawan. Ini kerja yang paling mudah. Orang post, saya share. First!!! Dari cerita artis hinggalah cerita bencana. Sayalah yang bertungkus lumus untuk tekan butang share. Caranya mudah. Dapatkan cerita dari page yang mengarut. Berlambak di internet. Tapi saya lebih bijak. Saya ambil cerita yang menjatuhkah maruah orang, memainkan perasaan ataupun yang mengundang simpati. Pengguna sukakan gossip dan perkara yang sakarstik. Oleh sebab itu saya tak pernah muncul di kaca tv.

Dan kebolehan terbaru saya adalah pakar kapal terbang, pakar radar dan pakar kemalangan udara. Semua saya tahu. Ini perkara enteng. Saya memiliki satu model RC kapalterbang di rumah. Saya beli di downtown. Itu menjadikan saya pakar segala pakar. Oleh sebab itu, saya tidak pernah menerbangkan pesawat sebenar sepanjang hidup saya.

Ok. Cukuplah sampai di sini. Saya bukan mahu bangga diri. Cuma saya nak berkongsi pengalaman dan pengetahuan saya yang sangat tinggi. Saya menunggu isu terbaru untuk saya mengiktiraf diri saya pakar serba tahu. Hubungi saya kalau ada apa-apa persoalan. Kerana setakat ini,tiada siapa pernah tanya saya untuk mendapatkan jawapan. Maka saya perlu menunjuk-nunjuk kepandaian saya.

Awak yang membaca jangan cuba tunjuk pandai. Sebab saya ada lima akaun fesbuk.

Sekian.

Advertisements