Ahmad Deedat


Assalamualaikum

1.
Bebaru ni aku terjebak dengan YouTube seorang penceramah terkenal yang baru aku sedar kemampuan oratornya. Namanya Ahmad Deedat. Sebelum ni aku cuma dengar nama dan membaca petikan artikelnya dengan evangelist Swaggart. Baru sekarang aku lihat dengan mata sendiri kelebihan yang ada padanya.

2.
Dia menjawab soalan yang dah lama aku tunggu orang memberikan jawapannya. Tentang sambutan Krismas, tentang old testament new testament, tentang Nabi Isa dan Kristianiti secara amnya.

3.
Yang hebatnya, dia menghujah menggunakan bible itu sendiri. Menghafaz. Di kala umat Islam “menolak” Bible, dia merapatkan Bible dalam dirinya. Di kala ramai yang menjauhkan diri dari Nabi Isa, dia di kalangan yang sedikit “mengenali” Nabi Isa, tanpa menafikan Nabi Muhammad adalah Rasulullah yang paling agung.

4.
Hujahnya pula simple, logik dan tepat sampai maklumatnya. Tak meleret. Disulami dengan humor yang sedikit. Menepati ciri ceramah yang aku nak dengar.

5.
Ramai penceramah terlalu serius. Cakap bersungguh2. Over cooked.
Ramai juga yang asyik buat lawak. Asyik mahu menarik perhatian.

Tapi Ahmad Deedat dalam kelasnya yang tersendiri.

6.
Sayangnya beliau telah meninggal. Legasinya diteruskan oleh penceramah seperti Zakir Naik. Ilmunya tinggi, tapi kekuatan oratornya tidak semampat Deedat.

7.
“Tak malukah kau, berhujah tentang Al-Quran sedangkan kau tak tahu berbahasa Arab”, kata seorang Menteri Saudi.

“Aku salahkan engkau. Aku yang tak tahu bahasa Arab mengelilingi dunia menerangkan Islam, sedangkan kau yang tahu, duduk di atas punggungmu” kata Deedat.

Dan Menteri itu meminta maaf dan berlalu…

8.
Ucapan beliau tiada unsur untuk memecahbelah. Mahu memupuk perpaduan atas nama Islam. Ucapannya penuh fakta dan logik akal. Dan untuk itu, aku tak segan untuk memberitahu bahawa dia memang istimewa.

9.
Dia membuka minda aku yang mendengarnya. Tentang bible, tentang Nabi Isa, tentang Islam dan Muhammad saw.

Tengoklah dalam YouTube. Anda pasti terkesima…. 😉

10.
Sejahteralah dikau wahai Ahmad Deedat. Bertambah satu jiwa di Malaysia yang mendoakan kesejahteraanmu di sana.

Advertisements

Perlaksanaan Hudud


Assalamualaikum

1.
Baru2 ni dalam satu forum Dr Maza ada mengatakan bahawa hudud belum sesuai dilaksanakan di Malaysia.

2.
Che Det pula mencabar Nik Aziz untuk melaksanakan hudud sekarang. Dia bukan lagi perdana menteri yang menghalang hudud kini. (Note: Dulu Che Det ada menghantar surat supaya “tidak dilaksanakan” hudud di Kelantan)

3.
Kali ini aku berada di sisi Nik Aziz. Sekurang2nya untuk perlaksanaan hudud.

4.
Hudud itu dari Allah. Bila2 waktu, mana2 negara, hukum Allah adalah yang terbaik. Aku mahu jadi orang yang beriman. Percaya.

Mesti diketahui bahawa undang2 Islam adalah di bawah kuasa sultan setiap negeri. Bukan di bawah kerajaan Malaysia secara amnya. Maka setiap menteri besar di setiap negeri yang bersultan, bebas untuk menggubah undang2 untuk mencapai matlamatnya untuk mewartakan undang2 Islam.

Jika Kelantan mewartakan hukum hudud, ia tidak terpakai di negeri lain. Pujuklah Sultan Kelantan dengan sebaiknya.

5.
Dr Maza juga ada menerangkan bahawa ketidaksesuaian hudud dilaksanakan adalah kerana persekitaran majmuk. Hujah aku, jika dilaksanakan, hudud itu hanyalah untuk orang yang beragama Islam sahaja. Ini adalah limitasi undang2 Islam di Malaysia. Majoriti rakyatnya juga adalah Islam. Kenapa masih kurang sesuai?

Dr Maza juga menghujahkan bahawa di zaman ini, kebanyakkan kes akan diselesaikan dengan hukuman takzir (budibicara pemerintah seperti penjara). Aku setuju. Sukar untuk menjumpai orang yang kuat imannya, terpuji akhlaknya untuk dijadikan saksi.

Aku juga setuju bahawa hukum hudud adalah langkah preventive. Rujuk sahajalah berapa banyak kes hudud pada zaman Rasulullah. Berikan pada aku statistiknya.

6.
Pada aku, ia mestilah dimulakan dahulu. Mulanya pasti akan ada kontroversi. Perlaksanaannya juga akan longgar. Biarlah. Jika was2, lepaskan sahaja tertuduh. Buktinya kena cukup. Pastikan tiada yang teraniaya. Islam itu adil.

Islam bukanlah agama menghukum. Islam adalah agama sejahtera. Islam menyatakan garisan undang2 untuk masyarakat hidup secara aman dan tenteram. Itu matlamatnya. Konsep asas, tiada jenayah dilakukan, tiada hukuman perlu dilaksanakan.

Lama kelamaan, pelaksanaan hudud akan jadi mantap. Practice makes perfect. Detailnya akan kukuh dengan masa yang berjalan.

7.
Sekurang2nya yang bukan Islam tidak perlu dimomokkan dengan “kekejaman” hudud. Ada yang takut tangan akan dikudungkan jika mencuri atau merompak. Seperti yang aku beritahu dahulu, jika tidak bersalah, kenapa perlu takut? Jika sudah takut, tidak akan dibuat perbuatan mencuri dan merompak itu. Inilah yang dinamakan preventive. Berjaga2 sebelum jenayah dilakukan. Yang hendak melakukan jenayah juga akan berfikir sebelum terjebak.

8.
Jangan asyik menyalahkan mantan perdana menteri mahupun kerajaan. Kuasa itu terletak pada sultan negeri. Berikan draf undang2 itu pada sultan untuk diluluskan. Jika tidak lulus, pujuklah. Berikan pencerahan. Tiada undang2 yang sebaik undang2 wahyu.

9.
Aku menyokong hudud. Tiadanya negara Islam kerana tidak disebut dalam AlQuran. Wajar juga aku katakan bahawa tiada juga parti politik Islam kerana ianya juga tidak disebut dalam AlQuran. Hudud itu ada dinyatakan. Buat sahajalah…

Islam itu universal. Ia wujud dalam setiap cara hidup. PAS mahupun bukan PAS.

10.
Teruskan sahaja usaha murnimu Tok Guru. Jangan asyik menunding jari. Kuasa itu ditanganmu. Di bawah kuasa sultan, atas nasihat Menteri Besar. Akan disoal di akhirat kelak.

Biarlah DS Najib ataupun Che Det disoal atas kepimpinannya kelak. Betul atau tidak keputusan mereka ketika menjadi pemimpin, hakimnya adalah Allah. Setiap individu akan disoal berasingan. Selesaikan amanah di atas bahu sendiri. Sekurang2nya di bawah negeri pimpinan sendiri.

Kerana kamu lebih mengetahui berbanding kami yang marhaen ini.

11.
Hudud bukanlah syarat untuk menjadi negara Islam. Tapi ia adalah sebahagian dari perundangan syariat Islam. Hukum munakahat (perkahwinan) dan mualamat (perniagaan) berasaskan Islam telah mula subur di negara ini. Ramai yang bukan muslim telah memilihnya. Nyatalah hukum Islam itu baik. Hukum faraid juga telah mula menjadi pilihan umat Islam dalam menyelesaikan kekusutan harta peninggalan si mati. Makin lama, makin rapat dengan AlQuran.

Walaupun belum sempurna, ianya telah ada. Aku yakin, ia akan mantap beberapa tahun lagi.

Siapa yang menentang usaha ini, akan aku tentang orang itu. Teruskan usaha. Jangan komplen atau bercakap sahaja.

Tegaknya sebuah rumah bermula dengan sebiji batu. Moga ada rumah aku di syurga kelak. Amin.

Pandangan umum isu murtad…


Assalamualaikum

Isu ni agak sensitif. Dan aku cuba untuk menerangkan sebaik mungkin. Bak kata orang, menarik rambut dalam tepung, rambut itu dapat diambil, tepung pula tidak bertaburan. Kalau salah, minta komen untuk diperbetulkan. Harapnya tiada yang unfriend aku kerana keceluparan. Tapi aku tetap pertahankan yang benar itu tetap benar, walaupun ia menjadikan aku tidak popular. Adalah mudah untuk meneruskan “kepopularan” aku dengan berdiam diri, tetapi aku rasa adanya keperluan aku untuk memperkatakan tentang hal di bawah ini

Ini adalah mengenai isu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikatakan telah menceroboh sebuah gereja di Petaling Jaya. Dikatakan bahawa tujuan JAIS melakukan sebegitu adalah kerana adanya laporan berlakunya aktiviti memurtadkan orang Islam. Pihak gereja pula menyatakan itu hanyalah sebuah majlis untuk kutipan amal dan berbuka puasa. Buka puasa di gereja? Musykil.

Baru tadi aku baca artikel dr maza yang mempersoalkan ke mana perginya wang zakat yang beratus juta sehingga umat Islam fakir menderita. Dalam tersiratnya, artikel dr maza ini mengesahkan bahawa kegiatan murtad ini kerana kemiskinan ekonomi itu, sememangnya wujud.

Fokusssssss !!! Isunya di sini adalah murtad dan perlu diselesaikan dahulu. Pronto.

Bila ada isu, asyik hendak menyalahkan orang lain. Murtad itu isu utama !!! Zakat itu perlu diselesaikan kemudian, itu tidak dinafikan. Jangan mengalihkan topik besar ini kerana ini menyebabkan umat Islam luluh jiwa dan berfikir dua kali. Kita mesti meletakkan prioriti di jajaran yang betul. Tegas pada tempat yang betul.

Yang berhormat menteri besar selangor telah mengeluarkan gag order untuk semuanya diam. Aku senyum. Di sini telah hilangnya kebebasan bersuara yang diperjuangkan mereka. Dahulu mereka berteriak mengatakan bahawa hak bersuara itu termaktub di dalam perlembagaan. Dan kini tahulah mereka bahawa sesuatu perkara itu senantiasa ada hadnya. Ada masanya, preventive measure diperlukan untuk mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.Tapi kali ini, itu bukan isunya.

Hukum Am : Asas Islam tidak membenarkan pencerobohan ke atas rumah ibadah. Apa agama sekalipun. Yang beribadah hendaklah dibiarkan. Ini jelas.

Dilemma : Namun isunya di sini, dikatakan ada umat Islam yang hendak dipesongkan akidahnya di dalam rumah ibadah itu. Adakah wajar untuk menceroboh?

Ini adalah dilemma antara hukum am (tidak boleh memusnahkan rumah ibadah agama lain) , dan hukum menyelamatkan orang Islam yang hendak murtad. Di dalam Islam, hukum murtad adalah bunuh. Ia adalah antara hukuman paling berat di dalam hudud.

Malah, Saidina Abu Bakar menangguhkan penguasaan Islam di empayar Rom/Parsi kerana pada waktu beliau mengambil puncak pemerintahan selepas wafatnya Rasulullah, banyak berlaku isu murtad ini. Yang paling popular ialah nabi palsu bernama Musailamah Al-Kazzab.

Jelas bahawa usaha untuk membenteras isu murtad ini melampaui kepentingan yang lain. Belajarlah dari sejarah. Segala usaha untuk memartabatkan Islam seharusnya ditangguhkan dahulu untuk menyelesaikan kemelut murtad. Malah tentera Islam yang hampir mengalahkan tentera Rom di arah pulang ke Madinah untuk berperang dengan golongan murtad ini. Menggambarkan betapa pentingnya untuk membersihkan isu murtad, melebihi kepentingan yang lain. Apatah lagi setakat political glory di Malaysia. Picisan.

Aku melihat isu ini begini. JAIS tidaklah memusnahkan gereja itu. Tiada ahli agama yang ditahan dan disoalsiasat. Yang diminta ialah untuk mereka yang beragama Islam yang menyertai acara di dalam gereja itu keluar untuk disoal siasat. Mengapa perlu ribut?

Hanya jika didapati adanya usaha untuk merubah akidah umat Islam, maka pada waktu itu, paderi gereja itu di dalam masalah yang besar. Dari sudut persepsi dan dari sudut undang2 bertulis dan perlembagaan malaysia.

Rumah ibadah itu tidak dirosakkan. Ahli ibadat itu tidak diganggu. Malah ibadatnya juga tidak diganggu, kerana dikatakan pada waktu itu hanya adanya ceramah untuk “memungut dana”. Yang hanya diminta hanyalah untuk “dikeluarkan” umat Islam yang ada di dalam gereja itu untuk disoalsiasat. Itu sahaja. Maka pada pandangan jahil aku, ini dibenarkan dan seharusnya dituntut kerana soal akidah itu tiada kompromi.

Apabila dinyatakan bahawa peserta majlis, berstatus Islam di kad pengenalan berkata bahawa ia “bukan Islam tetapi mempercayai Tuhan”, ia sesuatu yang ganjil. Malah daripada laporan akhbar menyatakan bahawa Injil versi bahasa melayu diberikan kepada mereka, menguatkan lagi sangsi aku pada motif perhimpunan di dalam gereja itu.

Malah usaha untuk melarikan diri dari pintu belakang gereja dan pengakuan pembaptisan orang Islam menghilangkan syak wasangka aku secara total walaupun faktanya belum dikonklusikan. Jika benar dakwaan, beban untuk membuktikan yang tidak bersalah, adalah pihak gereja itu sendiri.

Ini bukannya soal JAIS menyeberang garisan ilusi antara Islam dan Kristian, ini adalah perlanggaran mereka pada garisan keimanan orang Islam. Mereka yang terlebih dahulu “breach of trust” dengan membawa orang Islam ke dalam gereja tersebut.

Malah artikel 11(4) perlembagaan malaysia menyatakan dengan jelas bahawa dilarang untuk umat islam untuk menyebarkan agama mereka kepada orang islam. Jelas dan padat.

Pihak gereja mengatakan adanya foul play. Pihak JAIS hendak mempertahankan akidah. Jika terus dimainkan isu ini, akan berlaku permusuhan dalam agama.

Kena berhati2 dalam isu ini. Islam, Yahudi dan Nasrani hidup bersama di bandar Madinah. Menghormati agama yang lain dengan cara yang tersendiri. Tetapi jika berlakunya usaha memurtadkan Islam, maka akan diklasifikasikan ia sebagai mencemarkan agama Islam dan taraf harbi perlu diberikan, iaitu mereka yang harus dimusuhi.

Tapi yang bukan Islam tidak seharusnya panik walaupun mereka adalah minoriti. Ketahuilah bahawa Islam itu tidak zalim. Hak mereka itu tetap ada. Bebas untuk meneruskan ibadah mereka selagimana mereka tidak melanggar garisan yang telah ditulis. Perjanjian yang telah dipersetujui sekian lama.

Pihak yang bukan Islam juga hendaklah lebih sensitif dalam menganjurkan acara. Jangan mengundang kontroversi. Jika hendak mengumpul dana am, buatlah di tempat yang tidak menimbulkan fitnah. Jika hendak membuat acara khas untuk agama atau kepentingan tertentu, silalah buat di rumah ibadah mereka sendiri. Tiada yang menghalangnya. Jangan dibawa diheret mereka yang beragama Islam ke dalam rumah ibadah mereka. Dan orang Islam juga seharusnya menjauhkan diri dari aktiviti tersebut.

Bukannya JAIS itu nak menghalang mereka beragama. Selama ini tidaklah JAIS menghalang perhimpunan mereka di hari Ahad setiap minggu. Tetapi kali ini melibatkan umat Islam. Isu murtad. Dan ini seharusnya ditentang oleh penguatkuasa undang2 di negara yang mana agama rasminya adalah Islam.

Malah di dalam undang2 “semi sekular”, adanya peruntukkan untuk mereka yang murtad. Tertakluk kepada undang2 islam di setiap negeri. Aktanya berlainan. Di bawah kuasa sultan masing2.

Perkara ini bukan untuk dibuat main. Bukan untuk senyum simpul. Ini adalah masalah yang serius.

Dan aku cuba untuk keluar dari kelompok yang selemah2 iman (berdiam diri), kepada menulis sesuatu yang tidak tertanggung di hati.

Jangan hilang fokus kerana politik. PAS sibuk dengan perbicangan dengan sekutu2nya. UMNO pula bersikap diam tunggu dan lihat. Aku rela hilang pas dan umno daripada aku hilang Islam. Itu jelas. Tiada kompromi.

Jangan jadi dayus, penakut, pendiam kerana kuasa persahabatan mahupun politik. Ia menyelamatkan nama,pangkat dan kemegahan duniawi. Ia tidak akan dapat menyelamatkan anda di akhirat kelak.

Harapnya aku bukanlah penghasut. Aku cuma hendak menulis apa yang benar. Sekurang2nya pada diri aku sendiri.

Jika aku salah minta dibetulkan. Dan hidayah itu sememangnya adalah hak milik eksklusif Allah.

Budaya Arab, Budaya Melayu


Assalamualaikum

Minggu lepas, gempa kecil melanda kumpulan ulama malaysia yang mengatakan bahawa dr maza adalah seorang yang mengikut fahaman wahabi dan terjurus kepada terorisme. Berita ini dapat direct dari fb beliau yang menyatakan bahawa majlis keselamatan negara yang melabel beliau begitu.

Agak terkejut juga dengan isu ini. Ramai juga yang tak berpuas hati. Namun majlis keselamatan negara dah pun menafikan melabel “kumpulan” itu wahabi atau terorisme. Cuma pandangan dari peserta yang wataknya dikenali ramai. Dan seperti yang aku nyatakan dalam blog yang lepas, susah nak rectify berita tidak tepat yang tersebar. Bila dah sebati dengan darah, apa pun tak boleh ubah.Persepsi.

Ada yang tidak mahu dilabel wahabi kerana rata2 menganggap golongan ini ekstremist kerana banyak perlakuan tidak dibenarkan oleh fahaman ini. Adat yang berlainan. Faktor persekitaran yang berlainan.

Apa itu wahabi? Apa itu sunni?

Ahli sunnah wal jamaah “diadakan” beratus tahun selepas zaman sahabat menjadi khalifah (zaman tabi’ tabi’in). Secara asasnya ia untuk counter fahaman syiah yang menular pada waktu itu. Ia menjadi mazhab2 yang diikuti. Secara asasnya ada empat imam terpilih iaitu syafie, maliki, hanafi,hambali. Di malaysia kita mengikut mazhab syafie, yang mana ia lebih sesuai untuk orang “lemah lembut” di sini. Sebenarnya ia mengikut fikrah beliau ketika berada di mesir.

Wahabi dikatakan bukan suatu mazhab, tetapi fahaman yang menjadi ikutan. Baru berusia seratus tahun lebih. Ia terarah kepada yang menetap di jazirah. Budayanya adalah lebih meresap sesuai dengan pemahaman penduduk tanah arab. Lakunya lebih “kasar dan tegas”. Namun bacaan qurannya diwaktu solat sangatlah meruntun jiwa mengundang tangisan. Malah bacaannya direkodkan untuk menjadi peneman ketika memandu di jalanan.

Tidaklah aku orang yang sesuai nak ceritakan tentang wahabi ini kerana bacaan aku amatlah cetek. Tapi aku tak nampak salahnya fahaman ini jika faham sedikit tentang budaya arab. Dari bacaan. Dari pemerhatian sehari dua aku di sana.

Mereka tidak membaca talkin (di tanah perkuburan). Aku juga bersetuju dengan perkara ini. Setelah selesai kebumi, pulang sahaja ke rumah. Kerana pada fahaman aku, tiada kelas agama patut diadakan di tanah perkuburan. Tempatnya tidak sesuai. Amalan anak adam itu telah terhenti kecuali yang tiga. Apatah lagi adat menyiram air, menabur bunga, dan membaca yassin. Itu adalah bidaah. Apa reasoning dia tidaklah aku tahu.

Tetapi jika hendak juga membaca yassin di pusara di pagi hari raya, tidaklah aku melarang mereka. Mengapa hendak melarang sesuatu yang baik (membaca alquran)? Walaupun ia dikhabarkan “dilarang”, tetapi susah hendak mengubah budaya yang sudah sebati. Di aidilfitri nnt, rapatkanlah hubungan dengan mereka yang masih hidup. Itu adalah lebih wajar. Tidak wajar di hari untuk bergembira kita habiskan dengan berkampung di pusara.

Tapi logiknya, hanya pada hari raya sahaja perantau balik ke kampung halamannya. Tiada masa yang lain. Jika ditanya pada aku, wajarkah menziarah pusara di pagi raya? Jawab aku, kalau boleh hari sebelum raya, hari selepas raya pertama, carilah masa. Kalau tak boleh juga, tepuk dada tanya selera. Kerana ada yang berpendapat membersihkan pusara arwah setahun sekali itulah jasa yang boleh diberi. Adat yang diwarisi.

Tapi tidak ada salahnya dalam mencantikkan kawasan perkuburan. Biarkan ia bersih dan bukan seperti tanah gersang yang menyeramkan. Bukankah Islam sukakan kecantikan? Kubur tidak terkecuali. Tandas juga begitu (perlu cantik). Namun, ada juga kawasan seperti di bukit kiara petaling jaya, kawasan kuburnya dijaga lebih baik dari laman rumah kebanyakkan orang. Tidak bolehkah? Boleh…. Dan cabarlah diri anda untuk menjadikan laman rumah anda lebih cantik dari kawasan perkuburan itu. Bukankah ia “persaingan” yang baik?

Fahaman wahabi tidak membenarkan pengagungan sesuatu yang retorik. Di Mekah, aku bertemu dengan tempat lahir Rasulullah di stesyen bas hadapan masjidil haram. Tiada yang istimewa. Jika tidak diberitahu penduduk tempatan, aku akan membuat kesimpulan, rumah itu adalah stor buruk yang tiada penghuni.

Tapi di Malaysia, semuanya direstorasikan. Rumah PRamlee pun dicantikkan dan diberi taraf muzium. Stadium Merdeka direka semula untuk menjaga sejarah dan identiti asalnya. Taj mahal dibaikpulih untuk memperlihatkan keagungannya. Begitu juga dengan colleseum romawi.

Tujuan mereka tidak memberikan pengiktirafan terbuka kepada rumah kelahiran nabi adalah kerana mereka telah berpendapat bahawa manusia yang datang dari budaya yang lain akan mengagungkan rumah itu. Kita lihat saja bagaimana segelintir umat Islam yang bergayut di kelambu kaabah. Bagaimana umat Islam amat bermegah dapat mencium hajarul aswad. Tiada syafaat yang dapat diberikan oleh kelambu yang dijahit itu, mahupun batu dari syurga itu. Jika mahu, baulah. Mungkin terlekat bau syurga di sebalik attar yang diletakkan di kelilingnya. Intro kepada keabadian yang berkekalan.

Manusia akan mengagungkan peninggalan sejarah. Warga arab mengajak manusia untuk bersatu hati kepada Allah. Pada mereka tiadalah ada mukjizat dan karamah pada peninggalan sejarah. Yang penting, Allah itu Maha Esa, Muhammad itu hidup di hati.

Kesemua itu tidak ada kena mengena dengan tauhid. Jika kita memuja Rasulullah, beliau akan wafat. Jika kita memuja Allah, maka sesungguhnya Allah itu kekal selamanya. Kata2 Abu Bakar kepada Umar di waktu perasaannya gundah gelana.

Ada banyak lagi ketidaksamaan mazhab kita dengan fahaman wahabi. Namun mesti jelas bahawa tauhid kita sama. Allah itu Esa. Muhammad itu RasulNya.

Selagi tidak bercanggah akidah, maka umat Islam bebas untuk memilih bagaimana untuk mempraktikkan agamanya.

Tidak aku jumpa di mana jakim menyatakan bahawa wahabi itu haram dan menyesatkan. Yang aku tahu bahawa fahaman itu “tidak sesuai” untuk diamalkan di Malaysia. Bertentang budaya. Kata Dr Mashitah, kalau dah melabelkan mereka itu sesat, takkan kerajaan Malaysia membenarkan kita menunaikan haji dan umrah? Dari situ datang logiknya.

Kenapa hendak “berperang” dengan saudara sendiri. Bila berada di tanah haram yang dua itu, tidak sekali pun aku dengar mereka mengkafirkan atau memandang hina kepada orang seperti aku yang berlainan aliran. Semuanya sama. Bila memakai ihram ketika menunaikan haji, semuanya setara. Bila sujud, semuanya bersujud dengan tingkah yang sama.

Samada berpegang kepada syafie ataupun wahabi, tidak mejamin seseorang itu ke syurga. Carilah redha Allah. Itu sahaja syaratnya untuk meniti jalan yang lurus.

Aku disuluhkan jalan mengikut denai Syafie. Maka aku turuti kerana banyak yang kena dengan jiwa melayu aku. Biarlah wahabi atau syiah dengan cara mereka. Selalunya asalnya itu murni, tetapi pecahan kecil yang menyebabkan mereka tersasar amalan. Pengikut Syafie juga tidak terkecuali.

Aku bukanlah pengikut wahabi kerana aku tidak tahu asas apa yang dipraktikkan mereka. Mungkin kerana banyak perkara yang mereka katakan bidaah (pembaharuan), dan bidaah itu menyesatkan (kerana Rasulullah tidak mengamalkan). Seperti Maal Hijrah, Maulud Nabi. Namun ada juga yang membenarkan pembaharuan yang baik (bidaah hasanah).

Islam tidak mengajar untuk kita menjadi terrorist. Tegas itu seharusnya. Jika ada yang menjadi terrorist, itu adalah perbuatan individu yang kekeringan idea dan usaha. Tidak ada kena mengena dengan kemurnian dan kesucian Islam. Dari catatan sejarah, carilah kekejaman tentera Islam. Setakat ini tiadalah aku berjumpa. Kecuali taktik perang Toriq bin Ziyad yang diperdebatkan. Tapi itu di medan perang. Bukan layanan sebelum dan selepas senjata dihunus. Toleransi. Kebaikan pada tahanan perang. Lembut pada kanak2 wanita dan warga emas. Tapi dunia barat menggambarkan pejuang jihad seperti kaum barbar dan gassar, bacalah lebih banyak dari bacaan yang lebih pro Islam, bukan datangnya dari yang anti Islam.

Kita ikut sahajalah. Dari bab munakahat, muamalat dan sebagainya, kita diajar untuk meneliti kajian oleh imam syafie. Jangan dicampuradukkan. Kita ini marhaen. Ilmu pun tak seberapa. Namun janganlah mengikut tanpa pengetahuan. Kerana akan ada pihak yang akan cuba menyesatkan. Kerana jika mengikut membuta tuli, dikhuatirkan hati juga akan begitu juga. Hati2lah dengan hadis dan ayat palsu. Dan jika JAKIM menyatakan begitu, tinggalkanlah apa yang perlu.

Jika ingin memilih mazhab yang lain, perlulah kukuh pembacaan dan pemahamannya. Carilah guru yang sewajarnya. Rata2 guru agama mengajar mengikut perungkaian Syafie. Jika ingin mengikut mazhab Maliki juga tidak salah, malah diperakui dengan satu kes syariah di Pulau Pinang dahulu. Adat yang dipakai oleh golongan India Muslim. Dengan syarat, mereka mempraktikkan mazhab itu sepenuhnya. Bukan mencedok apa yang mereka mahu sahaja.

Jangan takut mempertahankan saudara seIslam anda. Katakanlah yang benar walaupun ianya pahit.

Kalau mengikut perkiraan ilmu dan amalan, tidaklah layak untuk masuk ke syurga. Tapi redha Allah itu luas. Harap aku dapatlah berteduh di bawah lembayung redha Allah itu.

Bila orang membuat kebaikan janganlah kita menghalangnya. Jika orang membuat kemungkaran, maka tentanglah ia walaupun didalam hati, untuk orang yang lemah imannya.

Kalau ada yang salah, minta diperbetulkan.

Salam Ramadhan.