Sebelum Nak Menganjingkan Orang


1. Ramai yang “angin” dengan program Saya Mahu Pegang Seekor Anjing. Ada juga yang menyokongnya.

2. Alasan penganjur mudah. Katanya mahu menyedarkan Muslim bahawa memegang anjing itu dibolehkan. Selepas itu perlu samak. Kenyataan penganjur itu jelas. Saya mengikuti perkembangan program ni sebelum hari kejadian.

Setahu saya, inisiatif ini diambil dari post tentang seorang Muslim yang baik hati yang merawat anjing yang dicederakan. Mulia sifatnya.

3. Ramai yang baru tahu bahawa tidak dibolehkan memegang anjing tanpa sebab. Saya baru tahu.

4. Ramai yang baru tahu bahawa hanya anjing yang besar diharuskan dipelihara. Untuk menjaga harta benda dan ternakan. Bukan anjing comel. Ini juga baru saya tahu.

5. Maka ramai yang baru tahu ini menghentam keronyok penganjur. Katanya sehingga laman sosial penganjur ditutup. Mungkin tidak tahan dengan kata2 nista dan keji.

6. Agak sukar mencari kesalahan penganjur. Mereka telah bertanyakan pada ustaz. Malah ustaz yang menasihatkan penganjur, turut hadir dalam majlis itu.

Islam menyarankan jika tidak tahu, maka bertanyalah pada yang pakar. Penganjur telah bertanya pada pakar agama yang diketahuinya.

Mungkin pakar penasihat itu telah terkhilaf.

6A. Dari info yang saya baru baca, ustaz itu tidak terkhilaf. Audiens yang ada mungkin tidak dengar taklimat yang diberikan.

7. Tak perlu menghentam.

7A. Ustaz itu, penganjur itu, malah pengungjung itu.

8. Soalan yang ingin diutarakan kepada penghentam, yang berpendidikan bertaraf google dan facebook…

“Di saat penganjur cuba memberi pengetahuan tentang anjing dan cara menyamak, apa yang kamu telah lakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang haram halal perkara itu?

Kamu hanya duduk berteleku di depan komputer sedangkan kamu membiarkan orang yang “tidak cukup ilmu”  untuk mengajar masyarakat. Dan kamu mengangkat diri kamu sebagai hero?”

9. Ada rakan sekolej saya yang memelihara anjing untuk menjaga hartanya. Anjingnya juga besar menepati syarat. Dia juga tahu tentang perlunya samak selepas bersentuhan anjing yang basah.

Maka hukumnya harus. Dia menepati ciri Islam yang dimahukan. Maka tiada kegusaran.

10. Penganjur terkhilaf. Maafkanlah. Kerana saya melihat niatnya baik.

Kamu menganggap diri kamu sungguh mulia, namun kamulah yang membawa malang kerana tidak memberitahu manusia tentang kebenaran”.

11. Jika selepas ini terlihat anjing yang sakit dan kehausan, maka berikanlah perhatian. Selepas selesai, samaklah. Kini semua orang tahu perkara itu. Objektifnya telah sampai.

Para pengkritik juga menyatakan bahawa banyak binatang lain yang perlu dikasihani seperti kucing, tapir dan gajah. Maklumatnya juga telah sampai.

Mengasihi apa jua makhluk Allah yang ada di dunia ini. Jelas.

12. Cuma saya masih tidak tahu cara untuk mengendalikan anjing liar yang berkeliaran dengan banyak sekali di kawasan pejabat saya.

Banyak kali diadukan kepada Majlis Perbandaran Selayang, namun tindakannya amatlah lembab tahap internasional.

Bimbang dikejar dan digigit. Itu fitrah manusia. Apa sahaja yang liar, dikhuatiri akan mencederakan.

13. Saya belajar banyak perkara dari isu Saya Mahu Pegang Seekor Anjing dari apa yang cikgu saya ajar di sekolah.

Malah lebih banyak dari apa yang penghentam ajarkan pada saya (atau tidak ajarkan).

14. Ini adalah khilaf jujur yang baik.  Khilaf jujur?  Ya… Penganjur telah (mungkin) terkhilaf dalam hal anjing yang dibelai dan sebab apa ianya dipegang.

Khilaf yang jujur kerana dia berpegang kepada nasihat dan pandangan seorang ustaz yang difikirkannya berkelayakan.

15. Adakah kita juga telah melakukan khilaf yang jujur dalam menghentam penganjur? Atau ada di antara kita yang rakus menghambur kata2 kesat padahal kita juga kurang pengetahuan?

16. Kepada yang berilmu, sebarkanlah. Adalah menjadi kesalahan jika menyimpan ilmu dan duduk bersahaja melihat umat Islam bertelagah sesama saudara seagama.

Islam itu mudah, jika ramai yang tahu betapa mudahnya Islam.

Semuanya Salah UMNO Cikgu… !!!


Assalamualaikum

Mad !!! Kenapa tak siapkan kerja rumah ???
Semuanya salah UMNO cikgu, diorang bagi lesen satelit kat kroni. Saya telah dilekakan menengok kartun.

Mad !!! Kenapa kasut kamu kotor ???
Semuanya salah UMNO cikgu, diorang seleweng duit rakyat. Lecak kat padang sekolah takde tar.

Mad !!! Kenapa datang lambat ???
Semuanya salah UMNO cikgu, diorang tolkan semua jalan. Bapa saya kena bawa motor pusing jauh.

Mad !!! Kenapa awak tumbuk budak tu ???
Semuanya salah UMNO cikgu, diorang tak bagi bawa henfon kat sekolah. Kalau tak, saya dah call abang saya, untuk pukul budak tu.

Mad !!! Kenapa kamu ponteng sekolah ???
Semuanya salah UMNO cikgu, diorang tak bagi elaun kehadiran. Mak saya terlupa nak tinggalkan duit belanja.

Mad !!! Kenapa kamu asyik salahkan UMNO ???

Itulah alasan yang pakcik makcik cakap kat youtube dan berita.

Kalau rujuk semua benda tak baik kat UMNO, orang akan rasa kesian kat saya. Nanti diorang akan belasah UMNO, dan lupakan kesalahan saya.

Jangan denda saya, cikgu. Semuanya salah UMNO.

Saya hanya ikut nasihat orang tua.

Kisah aku, anak dan basikal


Assalamualaikum

Kenangan.

Emak hanyalah seorang peniaga makanan gerai di seksyen 17. Hidup kami serba sederhana. Pakaian dan kelengkapan sekolah cuma sepasang bagi segalanya. Membelinya hanya setahun sekali. Dilunyaikan atau memilih untuk cermat, segalanya adalah pilihan sendiri. Kasut aku akan lapuk kerana itulah sepatu untuk ke sekolah, mahupun bermain bola. Putih pada hari Isnin, kusam pada penghujung Jumaat.

Aku menetap di kawasan rumah pangsa. Ada dua bilik besar dan satu bilik kecil. Pernah menetap di bilik yang besar, tapi sebab yang aku tak tahu kenapa, emak membina sebuah bilik kayu beratap zink di belakang rumah. Sempadannya adalah longkang. Di situlah aku menetap untuk sepanjang aku bersekolah rendah. Bilik batu yang kami tinggal dahulu, disewakan kepada pelajar farmasi yang belajar berdekatan.

Orang lain ada tempat yang boleh dikatakan rumah. Aku boleh simpulkan yang aku hanya ada tempat berteduh. Aku boleh katakan aku tiada ruang tamu. Aku tiada dapur. Ianya wujud. Tapi aku tidak berpeluang merasakan nikmatnya. Untuk tidur, makan, berehat mahupun menonton tv, hanyalah di bilik kecil itu.

Atap zink. Bila hujan lebat, telinga ini akan berdesing. Aku suka hari hujan. Sekurang2nya aku akan dapat rasa kesejukan. Malah bau dari longkang akan hilang dibawa arus. Kenikmatan yang sementara. Kerana esok, bau itu akan menyucuk deria aku kembali. Tidak mengapa. Kerana itu, sehingga kini, aku amat menyukai bau hujan yang baru turun membasahi bumi.

Atap zink. Bila hari panas, aku akan berlenging. Dan kerana itulah sehingga sekarang, aku sudah terbiasa untuk tidur dengan kain pelikat tanpa baju. Dan isteriku bila membaca ini akan tahu kenapa perangai suaminya sebegitu pelik.

Masih terlalu kecil untuk aku rasakan kesusahan. Walaupun serba kekurangan, makan dan minum aku sentiasa cukup. Pilih sahajalah hendak makan apa di gerai emak. Tidak pernah tidak dapat. Jika buku, cakap sahaja. Akan emak beri duit pada Kak Tipah untuk carikan.

Cuma bila diceritakan tentang kemewahan, itu aku tiada. Sepanjang aku tinggal di pondok kayu itu, aku tidak dapat mengingati jika ada kawan yang datang bertandang ke rumah. Tiada apa yang aku dapat tawarkan. Tiada emak untuk menyajikan minuman. Tiada mainan untuk dijadikan umpan untuk mereka datang menghabiskan petang bersama teman. Namun kanak2 tetap kanak2. Jika tiada di rumah, maka aku akan menceriakan diri dengan bermain di luar selama mana boleh.

Aku masih ingat bermain di padang yang kini berhadapan dengan Jaya One. Kawasan berumput, namun penuh dengan akar yang tebal melingkari tanah. Terkadang tersadung juga. Namun terus bermain. Aku masih ingat di kala zaman robot transformers, aku akan ke rumah Masri. Pada zaman gila Atari, aku ke rumah Firdaus. Pada zaman yang tiada bermusim, bola sepak sahajalah pengisi masa lapang. Dengan Yan, Firdaus, Isa, Eri, Izam.

Namun ada satu perkara yang aku inginkan. Sebuah basikal. Pada zaman bmx mula menyentap jiwa, yang lain semua ada. Cuma aku. Pernah aku meminta pada emak. Dari riak mukanya, aku tahu itu di luar kemampuannya. Banyak lagi benda penting yang mesti dilangsaikannya.

Maka kisah aku dengan basikal hanyalah memori dan pinjaman. Ada masanya aku dibonceng. Di kala mood mereka baik, dipinjamkan kepada aku barang sebentar.

Namun apabila kawan2 hendak berlumba melungsuri bukit, aku hanya mampu berdiri di hadapan pejabat pos memerhatikan mereka menjerit dan bersorak kegembiraan. Kadangkala mereka datang kembali. Kadangkala, setelah menuruni bukit, mereka meneruskan perjalanan entah ke mana. Dan aku pulang ke rumah berlari, dengan gaya yang seakan sedang memegang handle basikal. Dan bila di titi kecil jalan masuk ke rumah, aku berjalan seperti biasa. Tak mahu ada sesiapa yang nampak betapa gilanya aku.

Aku tak pernah salahkan kawan2. Dan aku juga tidak pernah salahkan emak. Cuma aku harapkan ada yang akan sudi membelikan aku sebuah basikal. Namun harapan hanya tinggal harapan. Sehingga kini aku masih tiada basikal yang menjadi milikan.

Pernah ada waktunya di pagi Sabtu, aku tinggal keseorangan. Pada hari itulah aku terasa sebaknya dan mengalir airmata. Kerana ditinggalkan. Khabarnya mereka berkonvoi ke seksyen 16. Ada antara mereka yang berkata pada pagi Isnin di sekolah, mereka mandi di kolam renang di kondo yang belum dibuka. Entah ya entahkan tidak. Aku hanya mampu mendengar. Tidak merasainya.

Lebih kurang 25 tahun kemudian, ketika dalam perjalanan menghantar Elis ke tempat pengajian, dia ada menyatakan bahawa hendak membelikan anak2 basikal. Anak2 aku tidak meminta terus pada aku. Tapi menyatakan rasa hati kepada makciknya yang bongsu. Itupun kerana makciknya itu menanyakan hadiah apa yang dimahukan untuk harijadi mereka.

Jawapan mereka basikal. Tapi tidak mahu memintanya dari aku. Takut dikecewakan. Entah kenapa di awal pagi itu, aku teringat zaman tanpa basikal aku. Elis meminta izin untuk membeli basikal. Memori datang, dan terus aku katakan ,Ya. Elis tersenyum, kerana biasanya tidak aku belikan. Tapi kali ini, dengan agak segera aku iyakan.

Pernah aku melihat budak2 bermain fixie di taman perumahan lama. Mungkin itu adalah trend terkini. Menggantikan bmx yang sudah lama di pasaran. Dan aku mencari fixie. Dari Tasik Selatan ke Bangsar ke Kajang ke Bangi akhirnya di kedai basikal berdekatan rumah mertua juga yang menjadi tempat untuk membeli. Kerana basikal itu agak tinggi, hanya Aisyah yang dapat menikmati. Adam dan Ammar hanya boleh mengayuh basikal yang biasa2 sahaja. Tidak mengapa. Niat aku sudah ada. Cuma basikal untuk kalian belum berjumpa.

Dan pada majlis harijadi mereka minggu lepas, kami hadiahkan basikal “sebenar” untuk mereka. Menggantikan basikal tayar mati berwarna warni yang dibeli nenek mereka beberapa tahun yang lalu.

Aku tahu mereka suka. Ammar dan Adam memeluk aku erat. Sebak, namun aku tahankan juga.

Dan kelmarin aku membawa Adam,Ammar dan Hariz menyusuri kawasan kampung Batu 10, berbasikal. Aku meminjam basikal Aisyah yang bermalam di rumah makciknya. Memerhatikan mereka di hadapan. Riangnya mereka. Aku hanya mampu senyum. Tiada yang bisa melihatnya. Seakan aku yang lebih gembira dari mereka. Tapi tidak meluahkannya.

Apabila tiba di pusat latihan memandu, kami gunakan ramp untuk ujian naik bukit kereta sebagai garisan mula untuk berlumba. Selepas kiraan 3, mereka mengayuh keriangan menuruni bukit yang kecil itu. Aku teringat gambaran semasa aku berdiri di hadapan pejabat pos seksyen 17 dahulu. Tapi kini aku duduk di atas basikal sendiri yang boleh dibanggakan, walaupun tidaklah sehebat mana.

Untuk memori, jika tiadanya kamu, tidaklah dapat anak2 merasa kenikmatan. Bergembiralah dengan hadiah dari abah dan ummi kamu. Dan hati abahmu ini besar, puas melihat kamu dan mainan baru kamu itu ……

Filem Fiksyen : Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′


Assalamualaikum

1.
Kalau. Secara amnya ia adalah hipotesis. Tapi ramai yang seronok ber”kalau2″ ni. Boleh mengundang pelbagai emosi. Hakikatnya, kalau itu, kalau begini, tidak mengubah apa yang hakiki, yang sebenarnya terjadi.

2.
Post kali ni, aku nak ber”kalau”… Tapi aku sedar, tak jadi apa pun, sebab situasinya berlainan.

Tak pernah terfikir… ??? Aku nak kongsi aje “kalau” aku ini … 😉

3.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Sekarang ni dia dah jadi Presiden UMNO.
Masih jadi Perdana Menteri Malaysia yang Ke-5.
PAS dan DAP adalah musuhnya.
PKR tak wujud di bumi Malaysia.

4.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Timbalan Presiden UMNO adalah Najib.
Najib masih menunggu dalam barisan untuk jadi PM.
Mereka bersama2 memusuhi PAS dan DAP.
Parti ala PKR cuba ditubuhkan tapi tak mendapat sambutan.

5.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Rakyat Malaysia takkan mengamalkan demonstrasi jalanan
Kita tak guna perkataan reformasi
Mahkamah dan hakim senantiasa betul
Polis dan tentera senantiasa murni
Utusan Malaysia dan TV3 kekal relevan
Malaysia aman sejahtera seperti era terdahulu.

6.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Wan Azizah jadi wanita nombor satu
Mengganti Hasmah sebagai pembantu
Nurul Izzah jadi anak low profile
Mukanya pun kita tak tahu

7.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Anda tidak akan kenal Ambiga
Tak kisah siapa towkay Magnum
Tak wujud Saiful Bukhari
Tak kenal siapa Eskay
Tak muncul Pakatan Rakyat

8.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

UMNO kekal selesa
SPR masih mengelamun
BPR tidur takde orang kejut
NFC sorang pun tak tau
RM 100 bayang pun takde
Selangor takde air percuma

9.
Kalau Anwar tidak ke Bamboo River 98′

Aku tak menulis post kali ini … 😉

Budak nakal


Assalamualaikum

Budak yang paling nakal di kampung mini
Paling kurang solat maghrib berjemaah setiap hari
Untuk bermain selepas mengaji

Budak itu berhijrah ke bandar tapi masih nakal lagi
Paling kurang solat jumaat di masjid seminggu sekali
Untuk mengelak umpatan teman pejabat tempat kais rezeki

Budak yang masih nakal itu lagi
Paling kurang solat aidilfitri setahun sekali
Untuk gayakan pakaian yang baru dibeli

Nakalnya dia
Makin lama makin kurang waktu solatnya
Kabur mengenal yang wajib dan yang sunat
Imannya melayang ditelan angin setempat

Budak yang nakal itu kini
Sudah tidak boleh solat lagi
Tubuhnya kaku, empat takbir bersilih
Jasadnya lurus dibalut kain putih

Kali ini dia berjanji
Sumpah takkan nakal lagi

Wallahi akan solat wajib lima waktunya
Wabillahi akan suci hati dalam ibadahnya
Watallahi yang sunat akan dilebihkannya

Kali ini, sumpah apa pun takkan ada ertinya lagi…

Transformers…


Assalamualaikum

Aku ni jenis kedekut bila nak belikan mainan untuk anak2. Bukanlah tak pernah beli, dah berbakul dah mainan diorang. Banyak yang dah dibuang pun. Tapi dalam sepuluh kali diorang mintak, ada la sekali aku beli. Banyaknya membazir je lebih (ayat bapak kede). Tapi bebudak ni, kalau sehari belikan sepuluh mainan pun tak cukup.

Tapi kal ini aku nak ceritakan sikit pasal mainan ni. Baru2 ni, ada kawan aku post dia belikan mainan transformers untuk anak dia. Jadi aku terus teringatkan zaman aku kecik2 dulu. Bila anak aku petik perkataan robot, aku pun pergilah kedai beli mainan untuk 2 hero aku tu.

Masa aku kecik2 dulu, mainan ni mahal giler !!! (sekarang ni pun masih mahal lagi). Masa dulu, siapa ada mainan ni kira hebatlah… Ada action figure robot. Oleh sebab berada dalam keluarga yang sederhana, tak mampulah family aku nak beli mainan2 macam ni untuk aku.

Tapi kalau nak main jugak, ada member aku masa sekolah, namanya Masri. Kitorang pergi la rumah dia, belek2 apa yang patut. Harga satu robot dia boleh buat belanja sekolah aku 4-5 bulan !!! Lepas tu berlambak pulak robot kat rumah dia. Perghhhh…kaya 3x…

Jadi bila teringat balik, tu yang aku nak beli robot transformers untuk anak aku. Yang besar harga 200+… aku beli yang kecik dulu biar diorang rasa. Suka giler diorang. Tido pun peluk robot.

Ada ketikanya kita tak mahu anak merasa “kesusahan” macam mana kita rasa dulu. Orang lain ada mainan best2… Yang macam aku ni jadi pemerhati aje. Orang lain ada basikal, aku jadi pembonceng aje. Tapi zaman tu happy aje. Pernah jugak mintak basikal, tapi bila nengok muka mak aku berubah, aku tak pernah nak tanya untuk kali kedua. Sampai sekarang aku masih belum beli basikal pertama aku. InsyaAllah akan aku beli satu hari nanti.

Layanlah anak2 anda selagi mampu. Bukannya nak beli selalu. Biar dia happy sikit. Kalau asyik2 dapat mainan happy meal pun tensen jugak… !!! 😉

Ni mintak ipad2 pulak… Aku cakap… “Beli la sendirik !!! ” …. Kuikuikui….