Merdeka Kita… Halal atau Haram ???


Assalamualaikum

1. Malaysia tak pernah dijajah. Ada benarnya.

2.

Pulau Pinang dipajak dari Sultan Kedah.

Singapura dipajak dari Sultan Johor.

Melaka ditukar suka sama suka dalam Perjanjian Ingeris-Belanda 1824.

Maka wujudlah NEGERI2 SELAT.

3.

Perak membenarkan British memajak tapak untuk mendulang bijih timah. Perjanjian Pangkor.

Selangor ditekan menerima residen untuk melindungi laluan kapal di Kuala Selangor dan Tanjung Rachado.

Sultan Pahang terpaksa kerana matinya seorang cina di hadapan istana.

Negeri Sembilan pula menerima kerana persempadanan daerah yang kelam kelibut.

Maka lahirlah NEGERI2 MELAYU BERSEKUTU. Negeri2 ini “tidak dimiliki” oleh British. Mereka hanya mentadbir segalanya kecuali perihal adat dan agama.

4. Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis “diserahkan secara sukarela” oleh Siam kepada British dalam Perjanjian Bangkok 1909.

Sejarah Johor agak unik dan agak panjang. Kerana orangnya pada ketika itu bijak.

Maka ada pula NEGERI2 MELAYU TIDAK BERSEKUTU. Inilah negeri2 sebenar yang dimilik oleh British menerusi pemberian terbuka oleh Siam.

5.

Sabah memajak tanah dan sungainya kepada syarikat Dent.

Sarawak pula memajak tanah dan sungainya kepada Brooke.

Kesimpulannya, “keempunyaan” Malaysia, khususnya Tanah Melayu bercelaru. Manusia yang bikin ia celaru. Kerana tanah, nama dan kuasa.

6. Tiada mana dalam sejarah menyatakan bahawa Malaysia “dijajah” secara total oleh British. Seperti kata Dr Mahathir, ia adalah dalam bentuk teknikal. Aku setuju.

7. Datuk moyang kita tidak ditawarkan untuk menjadi warga British. Kalau kita dijajah, taraf kerakyatan adalah British Citizen (bandingkan dengan British Subject).

Hanya istimewanya untuk penduduk negeri2 selat. British subject, citizen of Singapore.

Secara asasnya, rakyat Tanah Melayu masih mahu berajakan sultan negeri masing2.

British pula tak hingin untuk menjadikan penduduk kulit gelap ini sebagai teman sebarisnya. Macam juga orang Malaysia tak mahu warga Bangladesh dan India menjadi warganegara. Mahu kulit yang cerah sahaja. Yang dimasak “well done” ditolaknya. Biasalah. Mengata orang paku serpih. “Racist” ????

8. Selepas Perang Dunia Kedua, Pertubuhan Bangsa2 Bersatu ditubuhkan pada 1945.

Charter of the United Nations diwartakan, di dalam bab XI (Artikel 73 and 74), negara2 penjarah seperti British, hendaklah memulakan usaha untuk negara yang dijajah untuk merdeka. Usaha ini dipanggil dekolonisasi. Ini dimulakan pada 1946.Ini adalah dalam kata dua, samada jadikan negara dijajah itu di bawah satu bendera, atau merdekakan negara tersebut

Banyak negara yang merdeka kerana ini. Malaya adalah di antaranya.

9. Oleh kerana itu Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada 1948. Tunku yang “tahu baca bahasa undang2 omputih”, memanfaatkan peluang yang ada untuk kita mencapai kemerdekaan. Usaha dekolonisasi dimulakan dengan memperkenalkan Sistem Ahli. Orang Tanah Melayu diberi peluang mentadbir negara sendiri (sambil diperhatikan oleh British).

Tunku menggunakan peluang yang ada untuk merdeka. Dibukakan jalan yang mudah. Ada pula genius seperti Tun Dr Ismail dan Tun Abdul Razak. Memudahkan kerjanya.

10. “Halal” kah merdeka kita pada 31 Ogos 1957 ??? Atau “haram” kerana kita meminta taraf merdeka dari negara yang sebenarnya tidak menjajah kita?

11. Selepas perang, PBB memudahkan bicara. Mengambil jalan mudah, pihak koloni mana yang TERAKHIR “mentadbir secara fizikal” di negara2 tersebut. Kalau British, Ke England lah… Kalau komunis, ke China lah.

Negara2 besar inilah sahaja yang boleh mengiktiraf koloninya untuk merdeka. Dan sampai sekarang, kita ada negara Commonwealth. Sukannya pun kita anjurkan.

Kalau komunis menjajah Tanah Melayu, PBB akan tetap memberikan kemerdekaan. Ia tidak menghalang fahaman. PBB cuma mahukan negara itu boleh berdiri di atas kaki sendiri. Independent. Caranya, rakyatnya lah tentukan. Nasib baik atok moyang aku memilih “jalan yang benar”.

Kita kena melihat situasi pada zaman itu. Selepas Perang Dunia kedua, banyak belanja untuk membangunkan semula negara. British macam biasa tak mahu lembu, dia hanya mahu susunya. Lebih baik British menghabiskan duitnya untuk tanah air sebenarnya.

Mereka perlu memerdekakan koloni di timur, tapi pada masa yang sama, perlukan bahan mentah dari negara kita. Nak buat macam mana??? (rujuk la blog aku yang lepas, ada la penerangan yang ringkas).

12. Nota kaki yang harus diingat, Tanah Melayu dan Singapura ini unik, sehinggakan adanya jawatankuasa khas dan keistimewaan khas diberikan kepada mereka di PBB.

13. Maka kemerdekaan kita adalah sah secara teknikal dan fizikalnya… Disahkan oleh dunia. Menerusi PBB. Kenapa perlu pertikaikan lagi… ???

Kenapa? Nak mansuhkan merdeka? Tak suka merdeka? Atau saja2 je test the water got alligator or not?

Katanya mahu sejarah diperbetulkan, bila diberitahu yang benar, hendak diperlekehkan. Apa sebenarnya yang kau nak mat? Kalau nak taruk nama Mat Sabu atau Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri yang pertama? Taruklah. Aku yakin tak ada yang akan percaya buta.

14. Macam kawan aku cakap, kalau hari ni kiamat, semuanya salah UMNO (sinikal). Seperti tiada langsung jasanya. Seperti tiada langsung benarnya. Segalanya sesat lagi menyesatkan.

Ehhhh… Macam yang aku nulis ni betul sangat jer… Degree sejarah pun takde.

Tapi aku menulis apa yang benar sahaja…. Kalau salah minta dibetulkan… 😉

Sejarah Adunan Pengampu….


Aku tak kenal pun dengan Mat Indera yang tetiba famous kerana Mat Sabu. Asal dia sebut aje, nama terus hot. Besar sangatkah pengaruh dia? Banyakkah thesis yang dibuatnya? Kebelakangan ni, banyak sangat sejarah yang hendak “dibetulkan” untuk membuktikan “kebenaran” statement yang dibuat oleh penyokong Mat Sabu itu. Benang yang basah hendak ditegakkan kerana timbalan presiden yang terlepas waras akal ketika berucap. Taksub yang tak sudah2. Makin lama makin merapu faktanya.

1. Pejuang kemerdekaan sebenar adalah PKMM, AWAS, Gerakan Islah dll

Ya, benar mereka mahu memerdekakan Tanah Melayu. Mereka dapat idea untuk merdeka ni dari Mesir. Orang Mesir mengalahkan British (dan Perancis) dalam revolusinya. Kebanyakkan pemimpin pula belajar di Universiti Al Azhar. Digelar kaum muda kerana mereka baru habis mengaji di sana. Baru grad, jadi mudalah. Tapi mesti diingat bahawa belia pembentuk negara.

Kebanyakkan dari mereka juga adalah ustaz2 ataupun tenaga pengajar yang banyak pengaruhnya. Mereka mahu merdeka tetapi tak boleh menyatukan hati penduduk Tanah Melayu untuk merdeka. Mungkinkah mereka berjaya? Jawabnya tidak.

Orang Tanah Melayu pada zaman 30-an dan awal 40-an belum bersedia untuk merdeka. Orang Melayu memang sifatnya tunggu dan lihat. Sehinggalah cerita hebat tentang Jepun tersebar meluas. Orang “kampung” perlukan bukti. Maka cerita “Jepun dengan Beruangnya” memberikan bukti bahawa David bisa mengalahkan Goliath.

Tapi tidak dinafikan, golongan kaum muda ini mempeloporinya. Tapi tidak berjaya. Wajarkah mereka digelar pejuang kemerdekaan? Jawapannya tidak. Kerana perjuangan persatuan diwakili mereka tidak pernah berjaya mendapat bayang kemerdekaan pun. Mereka berjuang pada kawasan dan pengaruh yang agak kecil.

Adakah mereka yang mengasaskan gerakan nasionalisme di Tanah Melayu? Jawabnya ya. Kerana pejuang seperti Dol Said dan Dato’ Maharajalela bersifat kenegerian. Golongan ustaz hebat berpendidikan dari Mesir ini lebih bersifat kepada pembebasan negara. Itu perlu kukuh pendiriannya.

2. PKM adalah pejuang menentang Jepun dan British.

Ada benar dan ada salahnya. British menentang idea komunis. Komunis di China pula masih panas amarahnya pada Jepun (rujuk Nanking Massacre). Jadi bila British balik kampung masa Jepun menyinggah selama 3 tahun, mereka menyerahkan peralatan berperang kepada “wakil komunis”. Hendak diserahkan kepada Melayu, hati mereka dah beralih kepada menyokong Jepun. Dapat tak rantaian psikologi ini?

Oleh kerana menyalahi pegangan mereka untuk memberi bantuan kepada komunis, mereka menyerahkan kepada MPAJA peralatan perang tersebut. Komunis yang hendakkan bantuan, menyertai gerakan MPAJA ini. Dengan syarat bahawa senjata akan dipulangkan bila peperangan selesai. Malah Chin Peng adalah anggota gerakan ini.

Komunis memerangi Jepun bukan kerana sayangkan Tanah Melayu. Mereka berperang kerana Jepun memang bencikan kaum Cina. Ini boleh dikira seperti menyelamatkan tengkuk sendiri. Setianya bukan pada sultan. Setianya kepada pemerintah di utara Asia.

Tamatnya peperangan melalui letupan mega di Hiroshima dan Nagasaki, bukan daripada perjuangan komunis mahupun MPAJA. Gerakan mereka cuma melemahkan Jepun secara kecil2an. Tidak mematikan ataupun sehingga taraf menghancurkan Jepun.

British kembali ke Tanah Melayu dengan lagak hero. Mereka kononnya telah menang perang dunia kedua. British menawarkan pengampunan kepada komunis ini dengan syarat, senjata yang dibekalkan, dipulangkan kembali.

Sebagai imbuhan, namanya diputihkan, boleh hidup secara aman, diberikan kad pengenalan dan bantuan makanan diberikan (rujuk catuan Kampung Baru). Tapi ramai antara mereka tidak mahu. Senjata British kini memakan diri sendiri. Komunis menentang British dengan senjata yang asalnya milik British. Darurat 12 tahun diisytiharkan.

Masih nak percaya pada komunis? Banyak benar mukanya. Buat apa sahaja untuk mencapai matlamatnya. Cukuplah dengan 14 hari yang hitam. Tak perlu disambung lagi hari yang malang.

3. Darurat diisytiharkan untuk melenyapkan “pejuang kemerdekaan”.

Ramai masih keliru apa itu darurat, apa itu peperangan. Kita kena lihat konteks sewaktu zaman itu. Menyelami jiwa dan keadaan ketika itu.

Adalah lebih mudah untuk British melenyapkan mereka dengan pengistiharan kawasan perang (warzone). Bunuh dan hanyutkan di sungai sebagai santapan buaya dan ikan. Tetapi mereka memilih untuk mengisytiharkan darurat. Kenapa?

Pada zaman itu, institusi perbankan hangat. Yang penting di sini bagi British ialah insurans. Mereka nak datang kembali ke Tanah Melayu untuk mengaut sisa bijih timah dan getah yang sudah tiga tahun tidak dituai hasilnya. Jika mereka isytiharkan perang, maka insurans akan bertepuk tangan. Tak payah bayar. Terma “War and Act of God”. Kalau darurat, ada kawasan yang boleh diputihkan segera, dan kelengkapan dan peralatan mereka akan dilindungi insurans. Jika ada barangan atau kilang yang musnah, boleh diclaim pada pihak insurans. Mudah sahaja. Tak siapa mahu rugi bila berniaga.

Adalah lebih mudah untuk menghapuskan penentang dengan pengisytiharan perang. Tetapi mereka memilih cara yang panjang. “Adab British”. Undang2 semasa perang adalah lebih sadis daripada darurat. Carilah perbezaannya.

Jadi darurat itu bukanlah untuk menghapuskan “pejuang”. Ia adalah lebih ntuk menyelamatkan periuk nasi British. Perang adalah langkah terakhir yang tidak dieksesaiskan penggunaannya. Pada aku, langkah yang bijak untuk mereka.

4. UMNO barua British

Ramai mempertikaikan slogan UMNO adalah “Hidup Melayu” dan bukan “Merdeka”. Maka tidak wajar dilabelkan pemimpin UMNO sebagai pejuang kemerdekaan. Lalu dikatakan bahawa UMNO adalah barua Britih untuk ditunggang selepas merdeka.

Lihat konteks penubuhan. UMNO ditubuhkan untuk mengembalikan hak Sultan yang menjaga hak Melayu. Ingat tak lagi bila British datang, Sultan tidak mempunyai kuasa melainkan perihal agama Islam dan adat istiadat? Melayu Aiman tak kisah. Bila ditubuhkan Malayan Union pada 1946, kuasa Sultan dalam hal Islam dan adat istiadat juga hendak diambil oleh British. Secara asasnya, jika sultan tiada kuasa, Melayu pula takkan ada suara.

Lalu Dato’ Onn menubuhkan UMNO selepas Malayan Union diumumkan. Tujuannya untuk mengembalikan hak Sultan sepertimana keadaan British memerintah sebelum Jepun menjajah.Dengan adanya sultan, Melayu juga dipelihara haknya.

Ini adalah kerana, bila Jepun hendak menjarah, mereka menjanjikan kemerdekaan kepada negara2 ikan bilis. Asia untuk orang Asia. Rakyat Tanah Melayu termakan umpan ini. Mahukan pembaharuan. Tetapi bila orang gila dapat kuasa, gilanya lebih hebat dari gila British dahulu. Sultan hendak dimansuhkan. Setia dan sembahnya pada maharaja di pulau kejauhan. Bukan lagi pada sultan di negeri berkenaan. Menzalimi rakyat.

Disebabkan itu, Melayu yang menyokong Jepun untuk menentang British, beralih arah untuk menyokong kembali British. “The lesser of two evil” kata orang Jawa.

Sebab itu slogannya Hidup Melayu. Hanyalah selepas tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu 1948, ditambah dengan tekanan dari PBB supaya negeri2 yang dijajah diberikan kemerdekaan dan memerintah negara sendiri, orang Tanah Melayu bersedia dan mahukan kebebasan dan kemerdekaan. Barulah laungan Merdeka dari pemimpin UMNO kedengaran. Lambat. Tapi tepat pada masa dan keadaannya.

5. Mat Indera

Bacaan yang ringkas, merumuskan aku bahawa dia adalah seorang Muslim terpelajar yang memilih untuk menyertai parti yang lain kerana dihambat pemerintah.

Pernah dengar matlamat tak menghalalkan cara?
Adakah matinya syahid mempertahankan tanah air atau matinya kerana takut mati?

Kenalkah anda seorang tokoh di Malaysia yang berkelakuan sebegini di abad ini? Kalau tahu, nyatakan namanya…. 😉

Katanya dia yang berada di barisan hadapan ketika komunis hendak “mencuit” bukit kepong. Tapi bila keganasan berlaku di luar kawalan, dia bertindak waras. Itulah, bila bersahabat dengan “pengganas”, apa lagi keamanan yang boleh diharapkan?Pilihlah kawan yang baik untuk kehidupan yang baik.

6. Ke mana perginya nama Mat Kilau, Dato’ Bahaman, Tok Janggut ???

Itulah, kalau tak membaca buku teks, janganlah kata awak tu pakar sejarah. Kalau lupa, meh aku ingatkan.

Cuba tengok buku teks tingkatan 2 dan tingkatan 5. Ada nama2 tu di bawah tajuk gerakan nasionalisme/penentangan British di Tanah Melayu. Diiktiraf sejarah mereka. Disediakan bab untuk “mengagungkan” perjuangan mereka.

Dinyatakan bahawa mereka menentang British. Tetapi tidak ada ayat yang aku jumpa menyatakan bahawa mereka adalah pengkhianat negara. Malah tulisan menyatakan sanjungan pada perjuangan yang tidak selesai oleh tokoh2 ini.

Tidaklah buku teks sejarah itu mengagungkan British. Penceritaannya benar. Tapi sayangnya mereka mempertahankan negeri mereka dan tidak bersifat kenegaraan. Semuanya menang di awal peperangan, tetapi di akhir kalam, semuanya tewas kerana “musuh dalam selimut”. Orang Melayu, tali barut Inggeris.

Kalau dah kalah, takkan nak kata menang… Ye tak? Malah pejuang seperti Tok Janggut, wajarlah aku tagging matinya syahid walaupun di akhir cerita, hanya pengisytiharan Allah sahaja yang laku di hari akhirat.

7. Tanah Melayu “tidak akan merdeka”.

Selagimana kita tidak membuktikan bahawa kita mampu untuk memerintah sendiri, selagi itu PBB takkan mengiktiraf kemerdekaan negara itu. Buktinya, Indonesia terpaksa merdeka dua kali untuk hal ini.

Inggeris senyum simpul. Syaratnya rakyat kena bersatu hati. Mereka berpengalaman di India. Hanya dua sect sahaja. Golongan Hindu dan Muslim tidak pernah boleh bersatu di sana. Hantarlah jiwa semurni Gandhi sekalipun. Masalah itu tidak pernah selesai. Sampai hari ini. Sehingga tanah terpaksa disempadankan dan dipisahkan. Kashmir masih menjadi rebutan.

Di Tanah Melayu, rakyatnya telah dimajmukkan. Ada Melayu, Cina, India, Benggali, Asli… British berpendapat bahawa kita takkan bersatu hati. India adalah batu arasnya. Tetapi setelah pilihanraya bandaran 1952 di Kuala Lumpur, mereka tersentak. Mereka mahukan 51% menyokong kemerdekaan. Kita memberi mereka 99% persefahaman sewaktu memenangi pilihanraya umum 1955. Parti perikatan menang 51 dari 52 kerusi yang dipertandingkan. Bukan setakat bersatu hati, malah menggunakan cara omputih, iaitu pilihanraya, untuk membuktikkan kita boleh bersatu.

Apabila tergamam dengan keputusan, mereka berdolak dalik untuk memberikan kemerdekaan sehingga dibaca di dalam buku sejarah, Tunku beberapa kali berulang alik ke London tentang hal untuk merdeka ini. Kenapa?

Jika sudah merdeka, segala hakmilik ladang getah dan kelapa sawit adalah milik Malaya. Segala bijih timah adalah milik Malaya. Setiap inci tanah mesti diserahkan. Oleh itu, British perlu membeli barangan mentah dengan harga yang lebih mahal dari Malaya yang merdeka. Itu yang mereka tak mahu. Mengapa perlu membayar jika boleh dapat sesuatu dengan percuma???

Oleh kerana mahukan kemerdekaan, maka wujudlah kuasa untuk Malayan Tin Mining Co untuk mengeklusifkan “nafsu timah” penjajah. Ladang2 seperti Guthrie dan Harrison and Crossfield hendaklah diberikan secara istimewa kepada British selepas kemerdekaan. Mereka bukannya mahu Tanah Melayu, mereka hanya mahu hasil bumi yang ada di Tanah Melayu.

Lalu Tunku “bertolak ansur” dan memberikan kemahuan yang dihajati British. Oleh kerana itu, selepas merdeka, British masih bebas mengaut hasil bumi di Malaya. Adakah ianya wajar? Hanya ahli politik ketika itu boleh memberikan jawabannya.

Apabila bijih timah yang sudah habis dikorek, diserahkan tanah gersang dan tinggalan kawah di lombong yang digunakan. Apa lagi gunanya? Hanyalah pada penghujung abad yang lepas, rancak dibangunkan kawasan perumahan tanah poros seperti yang dilakukan oleh IOI di Puchong dan Sunway.

Tapi bagaimana pula tanah pertanian? Getah tua ditebang dan ditanam semula. Kelapa sawit yang uzur digantikan dengan anaknya. Sampai bila British hendak bergayut di Malaysia? Mujurlah adanya “Dawn Raid” sewaktu zaman Mahathir. Maka dapatlah kembali tanah2 itu kepada Malaysia di bursa saham. Walaupun sebenarnya kita terpaksa membeli apa yang sememangnya hakmilik kita.

…..

Aku bukanlah pakar sejarah. Bacaan pun kurang. Tapi aku rasa ada logiknya dengan penerangan aku ini. Sejarah adalah sejarah.

Yang berjaya tulis buku, yang tewas tulis puisi. Lumrah. Sifat manusia. Orang yang kecewa, lebih indah dan mendalam bahasanya. Tanyalah pada Shakespear.

Yang pentingnya, kita mengambil iktibar dari sejarah. Bukan memesongkan sejarah untuk mangampu pemimpin parti yang tercuai cakap.Makin lama backing, makin mengarut komennya. Jadilah anak Malaysia sejati.

Bila kita mencari alasan untuk membenarkan apa yang salah, kerana taksub dengan pemimpin, tunggulah saat kehancuran negara dan bangsa sendiri.

Jangan kuat membodek sehingga menjual sejarah yang benar dan harga diri. Murah sangat nilainya…. 😉

Tanah Melayu Malaya Malaysia


Assalamualaikum

1. Sejarah tentang Malaysia ni agak unik. Dahulunya bahagian utara sahaja yang aktif. Ini boleh dilihat dengan adanya peninggalan di Lembah Bujang. Kawasan tersebut banyak dipengaruhi oleh budaya dari Siam.

2. Ada penduduk di tempat yang lain, sehingga ke hujung semenanjung. Buktinya, sewaktu Parameswara datang ke Temasek, ada inhabitant di situ.

3. Gemilangnya semenanjung ini sewaktu zaman kesultanan Melaka. Dicatatkan, dalam tempoh lebih kurang 114 tahun, Melaka telah menjadi kuasa dominan dunia.

4. Budayanya juga unik. Ada dicedok dari Siam (utara), dari negara China dan India (tengah), dari Indonesia (selatan). Budaya Inggeris diadaptasi dan digunapakai sedikit secara keseluruhannya kerana kononnya melambangkan gaya dan ketamadunan.

5. Dahulunya semenanjung ini dikenali dengan nama Tanah Melayu. Paling tidak dengan bukti catatan sejarah dan penubuhan persekutuan tanah melayu pada 1948.

6. Terkemudian, ia bertukar nama semi Inggeris kepada Malaya.

7. Pada 1963, ia bertukar nama lagi kepada Malaysia. Mengintegrasikan Sabah, Sarawak dan Singapura.

8. Sudah berkali2 bertukar nama, tanahnya tetap sama. Cuma di antara negerinya, Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur, tiada sultannya. Kuasanya dipegang oleh Yang diPertuan Agong.

9. Rakyatnya juga telah diintegrasikan. Dengan adanya sistem Kangchu dan Kangkar, orang China datang bermastautin di sini. Melalui sistem kontrak, orang India juga ada di sini. Dengan adanya sistem imigresen antarabangsa, orang Indonesia menjadi rakyat di sini. Dan sedikit dari Myanmar, Bangladesh, Nepal, Filipina dan negara sekitarnya.

10. Malaysia ini makmur. Mewah. Paling tidak, makannya mewah. Di hari raya ini, kalau lapar, singgah sahalah di mana2 rumah. Tak perlu mengeteh di kedai mamak.

11. Cuba abaikan politik kepartian dan duduk menghirup secawan teh di bistro tempatan. Akan mudah ditemui masyarakat berbilang bangsa duduk semeja. Keluar mesra dari bangunan yang sama. Bersukan di padang yang sama. Merayakan hari kebesaran bersama. Indah. Unik.

12. Jangan kerana taksub, Malaysia ini berpecah suku. Jangan kerana rasa terancam, rakyatnya cuma meletakkan hak masing2 di dalam undang2. Cukuplah satu. Yang lain amalkanlah pemahaman masing2. Tiada dihalang.

13. Cuba duduk tenang dan jawab soalan ini sambil menutup mata… “Apa itu Malaysia ???”

Aku yakin gambaran di kepala hanyalah perkara yang baik2 sahaja.

14. Kekalkan apa yang ada. Majukan ilmu di dada. Bergerak ke hadapan bersama. Jangan diikut budaya asing. Kita maju kerana ilmu, bukan kerana meniru dan melakonkan semula budaya orang lain.

15. Selamat menyambut hari merdeka… Kita adalah apa yang kita mahu… 😉

Mat Sabu dan Bukit Kepongnya


Assalamualaikum

1. Mulanya malas aku nak layan perihal ceramah mat sabu. Selalunya media misquote. Tapi bila aku nengok sendiri video tu, mmg ada benarnya komen yang tidak baik tentang ucapan mat sabu.

2. Peristiwa bukit kepong berlaku pada zaman 1950an. Masa tu, Malayan Union pun dah berkubur. Sejak 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan. Masa inilah darurat pertama diisytiharkan dari 1948-1960.

3. Dalam tempoh ini juga, Perang Saraf, Kampung Baru ditubuhkan, dengan tujuan utama untuk memerangi komunis.

4. Tapi perlu diingat bahawa kita tidak mencapai kemerdekaan dengan memerangi British secara kenegerian. Kita mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi pada pilihanraya 1955.

5. Sebelum itu, pilihanraya bandaran diadakan dia Pulau Pinang pada Disember 1951. Parti yang membela kaum kalah teruk. Hanya pada pilihanraya bandaran 1952 di Kuala Lumpur, modul parti perikatan dicuba dan memenanginya dengan cemerlang. Coalition ini diteruskan di bandar2 lain seperti ipoh dan johor dan mendapat sokongan ramai.

6. Dol Said,Mat Kilau, Tok Janggut, Dato’ Bahaman, Dato’ Maharajalela…. Semuanya adalah pejuang kenegerian. Mempertahankan negeri. Bukan bersifat nasional (nationalisme).

Tidak menafikan mereka menentang penjajah. Namun skopnya tidaklah luas kerana faktor sempadan dan tanah jajahan sultan masing2.

7. UMNO ditubuhkan juga bukanlah matlamat asalnya untuk mendapat kemerdekaan. Tujuan asalnya hanyalah untuk mengembalikan kuasa sultan sewaktu Malayan Union 1946. Setelah mendapat rasa “menggigit” melalui Sistem Ahli yang diperkenalkan British, maka selepas itu barulah semangat untuk merdeka itu timbul.

Ini ditambah rasa dengan kemerdekaan jiran kita, Indonesia yang mendapat kemerdekaan dengan jerih payah menentang Belanda dengan parang dan darah di seluruh pulaunya.

8. Bila menyatakan komunis itulah pejuang sebenar, mematikan matlamat asal. British dan warga Tanah Melayu bersatu hati menentang komunis. Ideologi komunis tidak boleh diterimapakai di tanah ini.

Tak perlu lama, peristiwa hitam 14 hari pada 1945 sudah cukup mencerminkan kekejaman dan kemualan rakyat Tanah Melayu pada idea komunis.

9. Pejuang kemerdekaan tidak semestinya memegang senjata dan merengkok di penjara. Itu adalah momokan minda yang mahukan semuanya dilakukan secara ekstrem.

Tunku, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail juga adalah pejuang kemerdekaan walaupun hanya duduk di meja rundingan dan berulang alik ke England.

Kita merdeka kerana akal yang bijak. Bukan kerana jiwa yang amuk memberontak.

10. Bukan semua yang British lakukan itu bersifat pemusnah. Ada juga kebaikan yang dilakukan. Tapi kita tidak seharusnya duduk di bawah ketiak British untuk selamanya. Dr Mahathir telah membuktikan, walaupun tidak bergantung kepada barat juga, kita boleh berjaya.

11. Janganlah diagungkan komunis itu. Tidak sesuai dengan konsep tauhid kebanyakan rakyat Tanah Melayu. Konsep tiada tuhan dan agama bakal mengundang pertumpahan darah dan keringat.

12. Lagi tiga hari dah nak menyambut merdeka. Jangan diperkecilkan jasa dan bakti mereka yang terdahulu, walaupun mereka tidak berjuang dengan senapang, parang dan kayu.

Dan mereka yang dapat mengelakkan peperangan adalah pemimpin angkatan yang sejati. Mencapai matlamat untuk merdeka, tiada setitis darah yang disumpah jatuh ke bumi.

13. Selamat merdeka rakyat Malaysia. Selamatlah segalanya…. Amin.