Kisah aku, anak dan basikal


Assalamualaikum

Kenangan.

Emak hanyalah seorang peniaga makanan gerai di seksyen 17. Hidup kami serba sederhana. Pakaian dan kelengkapan sekolah cuma sepasang bagi segalanya. Membelinya hanya setahun sekali. Dilunyaikan atau memilih untuk cermat, segalanya adalah pilihan sendiri. Kasut aku akan lapuk kerana itulah sepatu untuk ke sekolah, mahupun bermain bola. Putih pada hari Isnin, kusam pada penghujung Jumaat.

Aku menetap di kawasan rumah pangsa. Ada dua bilik besar dan satu bilik kecil. Pernah menetap di bilik yang besar, tapi sebab yang aku tak tahu kenapa, emak membina sebuah bilik kayu beratap zink di belakang rumah. Sempadannya adalah longkang. Di situlah aku menetap untuk sepanjang aku bersekolah rendah. Bilik batu yang kami tinggal dahulu, disewakan kepada pelajar farmasi yang belajar berdekatan.

Orang lain ada tempat yang boleh dikatakan rumah. Aku boleh simpulkan yang aku hanya ada tempat berteduh. Aku boleh katakan aku tiada ruang tamu. Aku tiada dapur. Ianya wujud. Tapi aku tidak berpeluang merasakan nikmatnya. Untuk tidur, makan, berehat mahupun menonton tv, hanyalah di bilik kecil itu.

Atap zink. Bila hujan lebat, telinga ini akan berdesing. Aku suka hari hujan. Sekurang2nya aku akan dapat rasa kesejukan. Malah bau dari longkang akan hilang dibawa arus. Kenikmatan yang sementara. Kerana esok, bau itu akan menyucuk deria aku kembali. Tidak mengapa. Kerana itu, sehingga kini, aku amat menyukai bau hujan yang baru turun membasahi bumi.

Atap zink. Bila hari panas, aku akan berlenging. Dan kerana itulah sehingga sekarang, aku sudah terbiasa untuk tidur dengan kain pelikat tanpa baju. Dan isteriku bila membaca ini akan tahu kenapa perangai suaminya sebegitu pelik.

Masih terlalu kecil untuk aku rasakan kesusahan. Walaupun serba kekurangan, makan dan minum aku sentiasa cukup. Pilih sahajalah hendak makan apa di gerai emak. Tidak pernah tidak dapat. Jika buku, cakap sahaja. Akan emak beri duit pada Kak Tipah untuk carikan.

Cuma bila diceritakan tentang kemewahan, itu aku tiada. Sepanjang aku tinggal di pondok kayu itu, aku tidak dapat mengingati jika ada kawan yang datang bertandang ke rumah. Tiada apa yang aku dapat tawarkan. Tiada emak untuk menyajikan minuman. Tiada mainan untuk dijadikan umpan untuk mereka datang menghabiskan petang bersama teman. Namun kanak2 tetap kanak2. Jika tiada di rumah, maka aku akan menceriakan diri dengan bermain di luar selama mana boleh.

Aku masih ingat bermain di padang yang kini berhadapan dengan Jaya One. Kawasan berumput, namun penuh dengan akar yang tebal melingkari tanah. Terkadang tersadung juga. Namun terus bermain. Aku masih ingat di kala zaman robot transformers, aku akan ke rumah Masri. Pada zaman gila Atari, aku ke rumah Firdaus. Pada zaman yang tiada bermusim, bola sepak sahajalah pengisi masa lapang. Dengan Yan, Firdaus, Isa, Eri, Izam.

Namun ada satu perkara yang aku inginkan. Sebuah basikal. Pada zaman bmx mula menyentap jiwa, yang lain semua ada. Cuma aku. Pernah aku meminta pada emak. Dari riak mukanya, aku tahu itu di luar kemampuannya. Banyak lagi benda penting yang mesti dilangsaikannya.

Maka kisah aku dengan basikal hanyalah memori dan pinjaman. Ada masanya aku dibonceng. Di kala mood mereka baik, dipinjamkan kepada aku barang sebentar.

Namun apabila kawan2 hendak berlumba melungsuri bukit, aku hanya mampu berdiri di hadapan pejabat pos memerhatikan mereka menjerit dan bersorak kegembiraan. Kadangkala mereka datang kembali. Kadangkala, setelah menuruni bukit, mereka meneruskan perjalanan entah ke mana. Dan aku pulang ke rumah berlari, dengan gaya yang seakan sedang memegang handle basikal. Dan bila di titi kecil jalan masuk ke rumah, aku berjalan seperti biasa. Tak mahu ada sesiapa yang nampak betapa gilanya aku.

Aku tak pernah salahkan kawan2. Dan aku juga tidak pernah salahkan emak. Cuma aku harapkan ada yang akan sudi membelikan aku sebuah basikal. Namun harapan hanya tinggal harapan. Sehingga kini aku masih tiada basikal yang menjadi milikan.

Pernah ada waktunya di pagi Sabtu, aku tinggal keseorangan. Pada hari itulah aku terasa sebaknya dan mengalir airmata. Kerana ditinggalkan. Khabarnya mereka berkonvoi ke seksyen 16. Ada antara mereka yang berkata pada pagi Isnin di sekolah, mereka mandi di kolam renang di kondo yang belum dibuka. Entah ya entahkan tidak. Aku hanya mampu mendengar. Tidak merasainya.

Lebih kurang 25 tahun kemudian, ketika dalam perjalanan menghantar Elis ke tempat pengajian, dia ada menyatakan bahawa hendak membelikan anak2 basikal. Anak2 aku tidak meminta terus pada aku. Tapi menyatakan rasa hati kepada makciknya yang bongsu. Itupun kerana makciknya itu menanyakan hadiah apa yang dimahukan untuk harijadi mereka.

Jawapan mereka basikal. Tapi tidak mahu memintanya dari aku. Takut dikecewakan. Entah kenapa di awal pagi itu, aku teringat zaman tanpa basikal aku. Elis meminta izin untuk membeli basikal. Memori datang, dan terus aku katakan ,Ya. Elis tersenyum, kerana biasanya tidak aku belikan. Tapi kali ini, dengan agak segera aku iyakan.

Pernah aku melihat budak2 bermain fixie di taman perumahan lama. Mungkin itu adalah trend terkini. Menggantikan bmx yang sudah lama di pasaran. Dan aku mencari fixie. Dari Tasik Selatan ke Bangsar ke Kajang ke Bangi akhirnya di kedai basikal berdekatan rumah mertua juga yang menjadi tempat untuk membeli. Kerana basikal itu agak tinggi, hanya Aisyah yang dapat menikmati. Adam dan Ammar hanya boleh mengayuh basikal yang biasa2 sahaja. Tidak mengapa. Niat aku sudah ada. Cuma basikal untuk kalian belum berjumpa.

Dan pada majlis harijadi mereka minggu lepas, kami hadiahkan basikal “sebenar” untuk mereka. Menggantikan basikal tayar mati berwarna warni yang dibeli nenek mereka beberapa tahun yang lalu.

Aku tahu mereka suka. Ammar dan Adam memeluk aku erat. Sebak, namun aku tahankan juga.

Dan kelmarin aku membawa Adam,Ammar dan Hariz menyusuri kawasan kampung Batu 10, berbasikal. Aku meminjam basikal Aisyah yang bermalam di rumah makciknya. Memerhatikan mereka di hadapan. Riangnya mereka. Aku hanya mampu senyum. Tiada yang bisa melihatnya. Seakan aku yang lebih gembira dari mereka. Tapi tidak meluahkannya.

Apabila tiba di pusat latihan memandu, kami gunakan ramp untuk ujian naik bukit kereta sebagai garisan mula untuk berlumba. Selepas kiraan 3, mereka mengayuh keriangan menuruni bukit yang kecil itu. Aku teringat gambaran semasa aku berdiri di hadapan pejabat pos seksyen 17 dahulu. Tapi kini aku duduk di atas basikal sendiri yang boleh dibanggakan, walaupun tidaklah sehebat mana.

Untuk memori, jika tiadanya kamu, tidaklah dapat anak2 merasa kenikmatan. Bergembiralah dengan hadiah dari abah dan ummi kamu. Dan hati abahmu ini besar, puas melihat kamu dan mainan baru kamu itu ……

Advertisements