Sebelum Nak Menganjingkan Orang


1. Ramai yang “angin” dengan program Saya Mahu Pegang Seekor Anjing. Ada juga yang menyokongnya.

2. Alasan penganjur mudah. Katanya mahu menyedarkan Muslim bahawa memegang anjing itu dibolehkan. Selepas itu perlu samak. Kenyataan penganjur itu jelas. Saya mengikuti perkembangan program ni sebelum hari kejadian.

Setahu saya, inisiatif ini diambil dari post tentang seorang Muslim yang baik hati yang merawat anjing yang dicederakan. Mulia sifatnya.

3. Ramai yang baru tahu bahawa tidak dibolehkan memegang anjing tanpa sebab. Saya baru tahu.

4. Ramai yang baru tahu bahawa hanya anjing yang besar diharuskan dipelihara. Untuk menjaga harta benda dan ternakan. Bukan anjing comel. Ini juga baru saya tahu.

5. Maka ramai yang baru tahu ini menghentam keronyok penganjur. Katanya sehingga laman sosial penganjur ditutup. Mungkin tidak tahan dengan kata2 nista dan keji.

6. Agak sukar mencari kesalahan penganjur. Mereka telah bertanyakan pada ustaz. Malah ustaz yang menasihatkan penganjur, turut hadir dalam majlis itu.

Islam menyarankan jika tidak tahu, maka bertanyalah pada yang pakar. Penganjur telah bertanya pada pakar agama yang diketahuinya.

Mungkin pakar penasihat itu telah terkhilaf.

6A. Dari info yang saya baru baca, ustaz itu tidak terkhilaf. Audiens yang ada mungkin tidak dengar taklimat yang diberikan.

7. Tak perlu menghentam.

7A. Ustaz itu, penganjur itu, malah pengungjung itu.

8. Soalan yang ingin diutarakan kepada penghentam, yang berpendidikan bertaraf google dan facebook…

“Di saat penganjur cuba memberi pengetahuan tentang anjing dan cara menyamak, apa yang kamu telah lakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang haram halal perkara itu?

Kamu hanya duduk berteleku di depan komputer sedangkan kamu membiarkan orang yang “tidak cukup ilmu”  untuk mengajar masyarakat. Dan kamu mengangkat diri kamu sebagai hero?”

9. Ada rakan sekolej saya yang memelihara anjing untuk menjaga hartanya. Anjingnya juga besar menepati syarat. Dia juga tahu tentang perlunya samak selepas bersentuhan anjing yang basah.

Maka hukumnya harus. Dia menepati ciri Islam yang dimahukan. Maka tiada kegusaran.

10. Penganjur terkhilaf. Maafkanlah. Kerana saya melihat niatnya baik.

Kamu menganggap diri kamu sungguh mulia, namun kamulah yang membawa malang kerana tidak memberitahu manusia tentang kebenaran”.

11. Jika selepas ini terlihat anjing yang sakit dan kehausan, maka berikanlah perhatian. Selepas selesai, samaklah. Kini semua orang tahu perkara itu. Objektifnya telah sampai.

Para pengkritik juga menyatakan bahawa banyak binatang lain yang perlu dikasihani seperti kucing, tapir dan gajah. Maklumatnya juga telah sampai.

Mengasihi apa jua makhluk Allah yang ada di dunia ini. Jelas.

12. Cuma saya masih tidak tahu cara untuk mengendalikan anjing liar yang berkeliaran dengan banyak sekali di kawasan pejabat saya.

Banyak kali diadukan kepada Majlis Perbandaran Selayang, namun tindakannya amatlah lembab tahap internasional.

Bimbang dikejar dan digigit. Itu fitrah manusia. Apa sahaja yang liar, dikhuatiri akan mencederakan.

13. Saya belajar banyak perkara dari isu Saya Mahu Pegang Seekor Anjing dari apa yang cikgu saya ajar di sekolah.

Malah lebih banyak dari apa yang penghentam ajarkan pada saya (atau tidak ajarkan).

14. Ini adalah khilaf jujur yang baik.  Khilaf jujur?  Ya… Penganjur telah (mungkin) terkhilaf dalam hal anjing yang dibelai dan sebab apa ianya dipegang.

Khilaf yang jujur kerana dia berpegang kepada nasihat dan pandangan seorang ustaz yang difikirkannya berkelayakan.

15. Adakah kita juga telah melakukan khilaf yang jujur dalam menghentam penganjur? Atau ada di antara kita yang rakus menghambur kata2 kesat padahal kita juga kurang pengetahuan?

16. Kepada yang berilmu, sebarkanlah. Adalah menjadi kesalahan jika menyimpan ilmu dan duduk bersahaja melihat umat Islam bertelagah sesama saudara seagama.

Islam itu mudah, jika ramai yang tahu betapa mudahnya Islam.

Dendam tak sudah


Assalamualaikum

1.
Anwar berdendam dengan Che Det. Habis semua “keturunan” dan “kroni” Che Det yang nak dilunyaikannya. Anaknya… Mahupun penggantinya… Semua mahu dilenyapkan, paling tidak, disenyapkan. Kalau tidak dihantar ke Sungai Buluh, rasanya Che Det adalah mentor terbaik yang dijulang Anwar. Dalam setiap ceramah, akan disebut nama bekas ketuanya itu.

2.
Nik Aziz pula berdendam dengan pemimpin kerajaan terdahulu yang menyingkir PAS dari barisan nasional. Habis madu sepah dibuang. Kini bila diajak untuk bersatu pun tak mahu lagi. Bak kata Karpal Singh, over my dead body (dalam konteks yang lain).

3.
Hal dendam ini mengundang sentimen. Mendatangkan rasa simpati kerana diperalatkan. Atau rasa dipermainkan. Manusia secara fitrahnya akan melakukan sesuatu untuk membantu yang teraniaya.

4.
Satu perkataan sahaja. Kasihan. Adalah amat sukar untuk hidup tenang jika dada penuh dengan dendam. Jiwa akan senantiasa tak tenteram.

Jika bapa yang buat salah, anak tak menanggung kesalahan yang dilakukan oleh bapanya… Jika ada hutang dengan bank, tiadalah anak menanggungnya. Lebih kurang begitulah analisisnya. Asas jurisprudens.

Jika Hussein Onn ada membuat kesalahan, maka anaknya Hisham tidak menanggung kesalahan bapanya.

Jika Che Det melakukan kesilapan, penggantinya Pak Lah dan Najib tidak bertanggungjawab atas kesilapannya.

Tetapi jika kebaikan yang dilakukan oleh bapa, anaknya pasti mendapat tempiasnya. Seperti berkawan dengan penjual perfume. Akan dapat harumannya.

5.
Tiada kebaculan dan merendahkan maruah dengan memaafkan. Allah Maha Pengampun, tetapi syariah tiada kuasa mengampunkan. Maafkanlah …

Tetapi jika ada kesalahan sivil, jenayah, syariah yang dilakukannya, maka wajarkanlah ia dengan memfailkan kes. Biarlah hakim mengadilinya.

Senario sekarang memutihkan mahkamah seMalaysia, katanya….

6.
Nik Aziz ada mengatakan bahawa beliau tak mahu dipatuk dua kali. Amat tidak bijak jika berlaku lagi. Amat benar. Bukan namanya seorang Muslim jika disengat lebah dua kali.

Hujah aku pula, ambillah iktibar dari sejarah. Bersatu itu boleh, tapi ambillah langkah agar jangan dibuang atau diperkotak katikkan lagi.

Itu sahaja. Mudah. Sekurang2nya mudah pada aku. Orang biasa.

7.
PAS tidak akan mendapat apa yang diperjuangkannya dengan Pakatan Rakyat. Itu hampir pasti. Perjuangan antara komponen mereka amat berbeza.

Ada yang menghujahkan, kenapa tidak UMNO sahaja yang bergabung dengan PAS ??? Mudah sahaja. Tidak ada asasnya, kerajaan majoriti yang masuk kepada parti minoriti.

8.
Satu perkara yang menghairankan aku. Tak pernah melangkau difikiran, parti yang menang kerusi paling banyak, akan menyerahkan tampuk pemerintahannya kepada pemimpin dari parti lain. Dari memilih ketua PAS sendiri seperti Abdul Hadi, diserahkan kuasa itu kepada ketua PKR, Anwar. Pelik tapi benar tapi musykil.

9.
Aku hampir menjadi ahli seumur hidup PAS. Matlamatnya baik. Tapi kerana berkawan dengan mereka yang kurang baik, kebarangkalian besarnya, ia sendiri akan menjadi tidak baik. Pengaruh rakan sebaya. Dan kerana itu, aku memilih the lesser evil mengikut pemikiran aku. Dan aku bertanggungjawab ke atas segala pilihan aku.

10.
Jika berbalah, kembalilah kepada asas yang diterima semua.

Bahawa Allah itu Esa.

Bergeraklah dari situ. Insya Allah, jika asas itu baik, natijahnya juga akan baik.

11.
Akan ada yang tidak bersetuju akan nasihat aku pada Tok Guru. Siapalah aku. Bagai langit dengan bumi. Aku sedar di mana aku berpijak.

Tapi aku rasa, apa yang tulis ini, ada benarnya. Nik Aziz juga bukan maksum.

Jika tiada siapa yang mahu memberi pandangan dari sisi yang berlainan kepada beliau, menggalakkan perpaduan, maka jadilah kamu dari golongan yang melagakan umat Muhammad di seantero Malaysia… Maka terputuslah tali itu.

12.
Jika lama disimpan, dendam akan membusukkan hati. Rohani dan jasmani.

Putaran dendam ini pula takkan habis jika saling tidak memaafkan.

“Sampai mati aku akan ingat…!!! “. Maka selepas dia mati, dendam itu diwariskan kepada anaknya. Maka saka dendam ini akan berlanjutan selagimana “bomoh” tidak membuangnya ke laut atau sungai. Jangan diwariskan perkara yang tidak baik. Tinggallah perkara dan persekiran yang baik untuk difaraidkan kepada semua umat Islam di Malaysia.

Alangkah baiknya kalau kita ini ada memori yang baik2 sahaja.

Seperti dalam setiap amin pada akhir solat jenazah…

“Apa yang ingin katakan pada arwah/jenazah ini ?”

“Baiiikkkkkkkkkk” ….. 😉