Dendam tak sudah


Assalamualaikum

1.
Anwar berdendam dengan Che Det. Habis semua “keturunan” dan “kroni” Che Det yang nak dilunyaikannya. Anaknya… Mahupun penggantinya… Semua mahu dilenyapkan, paling tidak, disenyapkan. Kalau tidak dihantar ke Sungai Buluh, rasanya Che Det adalah mentor terbaik yang dijulang Anwar. Dalam setiap ceramah, akan disebut nama bekas ketuanya itu.

2.
Nik Aziz pula berdendam dengan pemimpin kerajaan terdahulu yang menyingkir PAS dari barisan nasional. Habis madu sepah dibuang. Kini bila diajak untuk bersatu pun tak mahu lagi. Bak kata Karpal Singh, over my dead body (dalam konteks yang lain).

3.
Hal dendam ini mengundang sentimen. Mendatangkan rasa simpati kerana diperalatkan. Atau rasa dipermainkan. Manusia secara fitrahnya akan melakukan sesuatu untuk membantu yang teraniaya.

4.
Satu perkataan sahaja. Kasihan. Adalah amat sukar untuk hidup tenang jika dada penuh dengan dendam. Jiwa akan senantiasa tak tenteram.

Jika bapa yang buat salah, anak tak menanggung kesalahan yang dilakukan oleh bapanya… Jika ada hutang dengan bank, tiadalah anak menanggungnya. Lebih kurang begitulah analisisnya. Asas jurisprudens.

Jika Hussein Onn ada membuat kesalahan, maka anaknya Hisham tidak menanggung kesalahan bapanya.

Jika Che Det melakukan kesilapan, penggantinya Pak Lah dan Najib tidak bertanggungjawab atas kesilapannya.

Tetapi jika kebaikan yang dilakukan oleh bapa, anaknya pasti mendapat tempiasnya. Seperti berkawan dengan penjual perfume. Akan dapat harumannya.

5.
Tiada kebaculan dan merendahkan maruah dengan memaafkan. Allah Maha Pengampun, tetapi syariah tiada kuasa mengampunkan. Maafkanlah …

Tetapi jika ada kesalahan sivil, jenayah, syariah yang dilakukannya, maka wajarkanlah ia dengan memfailkan kes. Biarlah hakim mengadilinya.

Senario sekarang memutihkan mahkamah seMalaysia, katanya….

6.
Nik Aziz ada mengatakan bahawa beliau tak mahu dipatuk dua kali. Amat tidak bijak jika berlaku lagi. Amat benar. Bukan namanya seorang Muslim jika disengat lebah dua kali.

Hujah aku pula, ambillah iktibar dari sejarah. Bersatu itu boleh, tapi ambillah langkah agar jangan dibuang atau diperkotak katikkan lagi.

Itu sahaja. Mudah. Sekurang2nya mudah pada aku. Orang biasa.

7.
PAS tidak akan mendapat apa yang diperjuangkannya dengan Pakatan Rakyat. Itu hampir pasti. Perjuangan antara komponen mereka amat berbeza.

Ada yang menghujahkan, kenapa tidak UMNO sahaja yang bergabung dengan PAS ??? Mudah sahaja. Tidak ada asasnya, kerajaan majoriti yang masuk kepada parti minoriti.

8.
Satu perkara yang menghairankan aku. Tak pernah melangkau difikiran, parti yang menang kerusi paling banyak, akan menyerahkan tampuk pemerintahannya kepada pemimpin dari parti lain. Dari memilih ketua PAS sendiri seperti Abdul Hadi, diserahkan kuasa itu kepada ketua PKR, Anwar. Pelik tapi benar tapi musykil.

9.
Aku hampir menjadi ahli seumur hidup PAS. Matlamatnya baik. Tapi kerana berkawan dengan mereka yang kurang baik, kebarangkalian besarnya, ia sendiri akan menjadi tidak baik. Pengaruh rakan sebaya. Dan kerana itu, aku memilih the lesser evil mengikut pemikiran aku. Dan aku bertanggungjawab ke atas segala pilihan aku.

10.
Jika berbalah, kembalilah kepada asas yang diterima semua.

Bahawa Allah itu Esa.

Bergeraklah dari situ. Insya Allah, jika asas itu baik, natijahnya juga akan baik.

11.
Akan ada yang tidak bersetuju akan nasihat aku pada Tok Guru. Siapalah aku. Bagai langit dengan bumi. Aku sedar di mana aku berpijak.

Tapi aku rasa, apa yang tulis ini, ada benarnya. Nik Aziz juga bukan maksum.

Jika tiada siapa yang mahu memberi pandangan dari sisi yang berlainan kepada beliau, menggalakkan perpaduan, maka jadilah kamu dari golongan yang melagakan umat Muhammad di seantero Malaysia… Maka terputuslah tali itu.

12.
Jika lama disimpan, dendam akan membusukkan hati. Rohani dan jasmani.

Putaran dendam ini pula takkan habis jika saling tidak memaafkan.

“Sampai mati aku akan ingat…!!! “. Maka selepas dia mati, dendam itu diwariskan kepada anaknya. Maka saka dendam ini akan berlanjutan selagimana “bomoh” tidak membuangnya ke laut atau sungai. Jangan diwariskan perkara yang tidak baik. Tinggallah perkara dan persekiran yang baik untuk difaraidkan kepada semua umat Islam di Malaysia.

Alangkah baiknya kalau kita ini ada memori yang baik2 sahaja.

Seperti dalam setiap amin pada akhir solat jenazah…

“Apa yang ingin katakan pada arwah/jenazah ini ?”

“Baiiikkkkkkkkkk” ….. 😉

Advertisements